Wira Parti Bumiputera Perkasa (Putra) mengutuk sekeras-kerasnya cubaan menakut-nakutkan badan kehakiman seperti yang didedahkan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat.
Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, badan kehakiman adalah sebuah badan yang menjulang kedaulatan undang-undang dan segala yang diputuskan adalah berdasarkan fakta dan pembuktian yang telah diteliti.
"Hakim-Hakim yang ditugaskan adalah dari kalangan yang bijak dan mahir dalam bidang perundangan maka tidak perlu bimbang dan rasa takut dengan sebarangugutan atau apa jua cubaan menakut-nakutkan kerana majoriti rakyat Malaysia bersama para hakim.
"Putra sedia bertempur dan bergasak dalam apa bentuk keadaan dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat badan kehakiman lebih-lebih lagi yang bermotifkan politik," katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat membidas percubaan pihak tertentu yang dikatakan cuba menakut-nakutkan badan kehakiman dalam kes politik yang dibicarakan tahun lepas.
Semasa ucapan pada Tahun Pembukaan Tahun Undang-undang 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Tengku Maimun menggesa para hakim terus membuat keputusan tanpa rasa takut atau pilih kasih.
Bagaimanapun, Tengku Maimun tidak mendedahkan siapa pihak yang dimaksudkannya itu.
Mengulas lanjut, Nasrul berkata Wira Putra tetap berdiri teguh dan mempertahankan kebebasan badan kehakiman sebagai salah satu cabang institusi sistem Raja Berperlembagaan.
"Justeru, Wira Putra mengutuk sekeras-kerasnya kepada mana-mana individu atau kumpulan yang cuba menakut-nakutkan atau cuba menggugat badan kehakiman.
"Golongan ini boleh diumpamakan sebagai perosak kebebasan badan kehakiman dan mempunyai nilai moral yang rendah kerana membuat tekanan demi kepentingan mereka dan tidak mengendahkan kepentingan awam," katanya.