Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam Negara saran Perlembagaan Persekutuan versi BM jadi rujukan muktamad

Peguam Negara Idrus Harun mencadangkan agar kerajaan menjadikan Perlembagaan Persekutuan edisi Bahasa Malaysia sebagai versi muktamad (authoritative) bagi undang-undang tertinggi di Malaysia.

Dia berkata demikian ketika berucap pada Pembukaan Tahun Undang-undang 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

“Perlembagaan Persekutuan bertindak sebagai asas kita dalam melaksanakan pengasingan kuasa (antara eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman).

“Oleh itu, bagi tahun 2023, menurut Perkara 160A Perlembagaan Persekutuan, AGC bercadang untuk mencetak semula Perlembagaan Persekutuan bagi memasukkan pindaan perlembagaan bersejarah terkini.

"AGC juga bercadang untuk mencadangkan kepada kerajaan supaya preskripsi Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa kebangsaan menjadi teks rasmi (authoritative) selaras dengan Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan.

“Kedua-dua rancangan ini tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong,” kata Idrus.

Perkara 160A menyatakan "pihak berkuasa yang dilantik di bawah undang-undang persekutuan bagi maksud menyemak undang-undang boleh, dengan persetujuan Yang di-Pertuan Agng, membenarkan percetakan salinan perlembagaan ini, termasuk segala pindaan yang berkuat kuasa padaa tarikh kebenaran itu; dan di mana-mana salinan perlembagaan ini yang dicetak sedemikian hendaklah disifatkan bagi segala maksud sebagai salinan yang benar dan betul bagi Perlembagaan Persekutuan.”

Perkara 160B pula menyebut,"jika perlembagaan ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan, Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan teks sahih, dan selepas itu, jika ada percanggahan atau perselisihan antara teks bahasa kebangsaan itu dengan teks bahasa Inggeris perlembagaan ini, teks bahasa kebangsaan itu hendaklah mengatasi teks bahasa Inggeris itu.”

Malay Mail melaporkan awal tahun lepas semasa perbicaraan Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan 2018 yang terkenal membabitkan kes penukaran agama unilateral antara guru tadika M Indira Gandhi dan bekas suaminya yang memeluk Islam, mahkamah tertinggi menyebelahinya dengan bersetuju bahawa versi Bahasa Inggeris Artikel 12(4) Perlembagaan Persekutuan mengatasi edisi Bahasa Malaysia, sekali gus melarang bekas suaminya mengislamkan tiga anaknya tanpa persetujuannya juga.

Versi Bahasa Inggeris Artikel 12(4) menggunakan istilah 'ibu bapa atau penjaga', manakala terjemahan Bahasa Malaysia peruntukan itu berbunyi sebagai 'ibu atau bapa'.

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam rayuan terhadap tindakan undang-undang seorang ibu Hindu untuk membatalkan penukaran agama Islam secara unilateral terhadap tiga anaknya, telah membangkitkan kemungkinan Perlembagaan Persekutuan versi Bahasa Melayu adalah yang autoritatif dan membantu dalam rayuannya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS