Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM ulangi komitmen lindung hak pekerja asing Indonesia di Malaysia

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengulangi komitmen kerajaan untuk melindungi hak pekerja asing Indonesia di Malaysia dan mengelakkan isu yang berpotensi merenggangkan hubungan dua hala antara dua negara.

Anwar berkata demikian dalam kenyataan bersama Presiden Indonesia Joko Widodo di Istana Presiden, Bogor, sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi pertamanya ke luar negara.

Jelas Anwar, kedua-dua pemimpin telah mencapai persefahaman untuk memastikan penyelesaian holistik yang menyasarkan peranan agensi swasta yang terlibat dalam pengambilan dan proses penempatan pekerja.

“Isu pekerja, pekerja asing Indonesia, saya sedar. Insya-Allah kita akan mengelak isu yang boleh merenggangkan hubungan kita, kerana saya mahu hubungan Malaysia-Indonesia kekal dalam kategori istimewa.

"Saya harap menteri luar kita faham perkara ini," kata Anwar semasa majlis yang turut dihadiri delegasi menteri dari kedua-dua negara, termasuk Menteri Luar Zambry Abdul Kadir dan rakan sejawatannya dari Indonesia, Retno Marsudi.

Anwar menyatakan bahawa isu termasuk layanan terhadap pekerja asing tanpa izin dalam tahanan Malaysia telah menyakiti perasaan ramai rakyat Indonesia biasa, selain kerajaannya.

“Saya tahu betul kerana saya pernah mengalami pengalaman berada di penjara yang sama (dengan pendatang) dan saya mendengar pada masa itu bunyi bagaimana mereka disebat, dan saya tidak percaya ini sesuatu yang berperikemanusiaan.

“Alhamdulillah untuk tahun ini dan tahun lepas amalan sebat telah ditamatkan, namun itu bukan jalan penyelesaiannya,” katanya.

Anwar berkata antara penyelesaian yang dibincangkan dengan Indonesia termasuk komitmen untuk mengawal selia peranan agensi buruh, memastikan syarikat yang ditugaskan untuk memudahkan proses pengambilan dan penempatan tidak akan mengaut keuntungan berlebihan dengan mengorbankan pekerja.

Sementara itu, Joko, atau lebih dikenali sebagai Jokowi, mengalu-alukan komitmen Malaysia untuk melindungi hak pekerja asing Indonesia.

“Saya menaruh harapan tinggi agar kita benar-benar dapat melaksanakan Sistem Satu Saluran untuk pengambilan dan penempatan pekerja asing Indonesia bersama-sama,” kata Jokowi merujuk kepada mekanisme yang dipersetujui oleh kedua-dua kerajaan tahun lalu sebagai sebahagian daripada syarat untuk menarik balik pembekuan penghantaran pekerja Indonesia ke Malaysia.

Pada masa yang sama, Jokowi berkata dia telah mengulangi permintaan agar Malaysia memudahkan pembangunan pusat pembelajaran komuniti untuk anak-anak pekerja asing Indonesia di semenanjung, mengikut contoh inisiatif serupa di Malaysia Barat.

Kedua-dua pemimpin juga menyentuh perkembangan berterusan di Indonesia yang akan menjadi Ibu Kota Nusantara yang baru di Kalimantan Timur, dengan jangkaan penyertaan daripada syarikat-syarikat utama Malaysia yang semalam menandatangani Surat Hasrat dengan rakan sejawatan mereka di Indonesia.

Perkara lain dalam agenda termasuk kerjasama Malaysia-Indonesia sebagai negara pengeluar minyak sawit; isu sempadan; peranan kedua-dua negara sebagai sebahagian daripada Asean; dan untuk menekan kerajaan Junta Myanmar supaya menamatkan keganasan di negara itu.

Awal pagi ini, Jokowi secara peribadi memandu Anwar menaiki kereta dalam lawatan ke taman botani Bogor yang diiktiraf Unesco yang berusia 205 tahun - seluas 87 hektar dan mengandungi 13,983 jenis pokok dan tumbuhan pelbagai asal - terletak bersebelahan dengan perkarangan istana presiden.

Sejurus tiba, Anwar dibawa melalui kawasan istana oleh pasukan berkuda serta penari berpakaian tradisional dari 38 wilayah Indonesia.

Selepas menandatangani buku pelawat, Jokowi turut membawa Anwar menanam pokok merawan yang merupakan tanaman asli hutan hujan Indonesia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS