Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail hari ini menegaskan komitmen kerajaan untuk meminda undang-undang negara yang membabitkan isu kewarganegaraan, termasuk kewarganegaraan bagi kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu Malaysia dan bapa warga asing.
Mengesahkan kenyataan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said sebelum ini bahawa kerajaan akan mencadangkan untuk meminda peraturan kerakyatan Perlembagaan Persekutuan, Saifuddin berkata Kementerian Dalam Negeri menjangkakan untuk membentangkan kertas kabinetnya mengenai perkara itu pada bulan depan (Februari).
"(Proses) itu saya ingat cepat. Tadi dalam taklimat, saya sasarkan (bentang kertas kabinet pada) Februari.
"(Kerana) saya perlu melakukan pelarasan sikit-sikitlah ya," katanya kepada pemberita di Putrajaya.
Saifuddin berkata kes yang sedang berjalan di Mahkamah Persekutuan - melibatkan sekumpulan ibu Malaysia merayu untuk membatalkan keputusan awal Mahkamah Rayuan yang menghalang anak mereka daripada daripada mendapat kerakyatan automatik - tidak akan menghalang komitmen pentadbiran baru untuk melihat isu itu dari sudut pindaan perlembagaan.
Pada 5 Ogos lepas, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan rayuan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan anak kepada ibu warga Malaysia dan bapa bukan warga Malaysia secara automatik berhak mendapat status warganegara.
Kes itu kini di peringkat Mahkamah Persekutuan.
Hari ini, Saifuddin berkata proses untuk meminda undang-undang berkenaan perkara itu akan mengambil sedikit masa.
Dia berkata, cadangan pindaan kini di peringkat persediaan dan dikendalikan sebuah pasukan petugas khas yang akan meneliti aspek undang-undang berkaitan.
Katanya lagi, selepas kertas kabinet dibentang, mereka perlu mengadakan libat urus dengan Bahagian Undang-undang dan Reformasi Institusi Jabatan Perdana Menteri. Kabiner kemudian akan memutuskan jika kertas kabinet bersama antara dua pihak tersebut perlu dibentang atau tidak.
Jika kabinet memutuskan demikian, dia berkata kerajaan perlu mengadakan libat urus dengan pemegang taruh seperti masyarakat sivil, pakar serta agensi dan kementerian lain yang berkaitan.
"Selain itu, libat urus kami dengan peguam negara juga akan dibuat, di mana tugasnya untuk menentukan sama ada kita perlu gubal undang-undang baru atau pinda (undang-undang sedia ada)," katanya, menjawab soalan bila cadangan pindaan dijangka dapat dibentangkan di Dewan Rakyat.
Mengulas komitmen kementeriannya berkenaan perkara itu, Saifuddin berkata isu undang-undang bersifat dinamik, di mana banyak undang-undang sedia ada telah pun digunakan seawal era 1950-an dan 1960-an.
"Misalnya, dilu tak terbayang wanita kita akan bertemu jodoh seantero dunia. Sekarang jumlah yang bertemu jodoh dengan warga asing ini ramai.
"Jadi kita perlu kemas kini apa juga peraturan atau aspek perlembagaan, jadi komitmen kami adalah untuk lihat keperluan-keperluan ini untuk lakukan anjakan atau pengubahsuaian," katanya.
Selain itu, dia berkata KDN juga ingin mengendalikan isu permohonan kerakyatan yang tertangguh.
Dia berkata bagi tempoh 2017 hingga 2022, Jabatan Pendaftaran Negara menerima sebanyak 54,000 permohonan.
Daripada jumlah itu, 7,000 permohonan sudah diluluskan manakala 36,000 lagi masih dalam proses. Bakinya sama ada tidak berjaya atau ditolak.