Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ketua hakim negara dedah cubaan takut-takutkan badan kehakiman

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat bersuara menentang percubaan pihak tertentu untuk menakut-nakutkan badan kehakiman dalam kes politik yang dibicarakan tahun lepas.

Semasa ucapan pada Tahun Pembukaan Tahun Undang-undang 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, dia menggesa para hakim untuk terus membuat keputusan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Bagaimanapun, Tengku Maimun tidak mendedahkan siapa pihak yang dimaksudkannya itu.

“Tahun lalu, cubaan untuk menakut-nakutkan atau sebaliknya memberikan tekanan yang tidak wajar terhadap hakim yang mengetuai kes kepentingan awam semakin ketara.

"Percubaan ini adalah penghinaan langsung terhadap kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman. Mereka sememangnya patut dikutuk dan sememangnya ramai yang dengan tegasnya bersuara menentang mereka.

"Adalah tidak wajar (mischievous) bagi sesiapa yang cuba memburukkan imej Mahkamah dan mencemarkannya melalui kritikan yang tidak adil, berat sebelah dan sering kali tidak disedari hanya kerana mereka tidak menyukai keputusan tertentu," katanya.

Tengku Maimun menegaskan tiada kompromi dalam soal kebebasan kehakiman dan kes-kes akan diputuskan tanpa rasa takut atau berat sebelah, tanpa motif atau niat jahat, tanpa sebarang tekanan dari luar dan dalam serta tanpa mengira personaliti.

"Selagi setiap hakim kekal komited terhadap prinsip ini, dan bersatu dalam melaksanakannya, saya yakin kebebasan kehakiman akan ditegakkan," katanya.

Katanya lagi, hakim sepatutnya membuat keputusan dan menulis kehakiman berdasarkan undang-undang dan bukan untuk meraih populariti.

"Kita menulis agar orang awam tahu akan fungsi kehakiman dan bukannya untuk mendapatkan sokongan (validation) daripada orang awam atau mana-mana pihak.

"Jika hakim membuat keputusan berdasarkan hal lain selain undang-undang dan/atau fakta, maka dia membuat keputusan yang tidak selari dengan undang-undang. Dia gagal menegakkan kebebasan kehakiman dan kedaulatan undang-undang," katanya.

Hak mengkritik kehakiman

Tengku Maimun menegaskan dia mengiktiraf hak rakyat untuk mengkritik badan kehakiman dan menguji ketepatan keputusan yang dibuat menerusi proses yang wajar.

"Benar, hakim perlu tahu akan pendirian awam, tetapi mereka tidak terikat dengannya. Perhatian yang sihat dan kritikan yang membina terhadap kehakiman dan apa yang dilakukannya sentiasa dialu-alukan kerana ia akan membantu kita melihat semula kerja kita, meningkatkan kecekapan dan kebolehan kita ke tahap terbaik, dan juga mengingatkan kita terhadap tujuan utama menegakkan kebebasan kehakiman adalah untuk mengekalkan kedaulatan udang-undang.

"Maka, kritikan yang diterima tidak seharusnya menjadi punca keadaan tidak harmoni antara badan kehakiman dan anggota Majlis Peguam, mana-mana pihak politik atau orang awam, tetapi ia sepatutnya mengukuhkan dan meningkatkan tekad kita untuk lebih bersatu dalam menegakkan kebebasan kehakiman dan kedaulatan undang-undang," katanya lagi.

Dia juga menasihatkan para hakim untuk memastikan asas kehakiman mereka jelas, koheren serta ringkas dan padat agar setiap lapisan masyarakat dapat memahaminya.

Tahun lalu, Tengku Maimun menjadi pengerusi panel hakim Mahkamah Persekutuan yang sebulat suara mengetepikan rayuan Najib Razak agar sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes rasuah SRC International diketepikan.

Dalam sidang media selepas acara hari ini, Tengku Maimun menyuarakan penghargaan kepada orang awam yang menyokong badan kehakiman dalam kes mahkamah yang melibatkan "personaliti" tertentu dan "sentimen politik".

"Apa yang luar biasa adalah luahan sokongan atau kritikan yang ekstrem ketika saya menerima ugutan bunuh. Sama ada (ugutan itu) serius atau tidak, itu soal lain.

"Kami menghargai sokongan masyarakat yang memahami setiap keputusan yang kami buat. Kami tiada agenda kecuali untuk bertindak selaras dengan undang-undang," katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS