Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tian Chua: Saya dipecat di saat musuh lama pun berdamai
Diterbitkan:  Jan 9, 2023 11:08 AM
Dikemaskini: 3:26 AM

Bekas naib presiden PKR Tian Chua menyifatkan keputusan untuk memecatnya dari parti itu bertentangan dengan pendekatan rekonsiliasi dalam politik negara pada masa ini.

Pada masa sama, Tian Chua berkata dia tetap akur dengan keputusan itu dan malah telah bersedia berdepan sebarang akibat selepas bertanding dalam PRU15 sebagai calon bebas.

"Walau demikian dalam konteks senario pasca-PRU15, pihak-pihak yang berlawan telah mengetepikan permusuhan semasa pilihanraya

"Bahkan musuh lama termasuk mereka yang didakwa pengkhianat telah berdamai dan berikrar untuk bekerjasama dalam pembentukan kerajaan perpaduan.

"Tanpa mempertikaikan kuasa kepemimpinan, tindakan keras menerapkan peraturan adalah seolah-olah bertentangan dengan arus rekonsiliasi dan keterangkuman dalam suasana politik saat ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (PKR) memutuskan untuk memecat Tian Chua serta empat lagi anggota kerana bertanding sebagai calon bebas dalam PRU lalu.

Dia bertanding sebagai calon bebas di kawasan Parlimen Batu - kerusi yang dipengangnya antara 2008 hingga 2018 - dan berdepan penyandang dari PKR, P Prabakaran.

Untuk rekod, Tian Chua menyokong Prabakaran yang merupakan calon bebas pada PRU 2018 setelah dia sendiri hilang kelayakan untuk bertanding.

Semalam, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata Tian Chua diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan terhadap pemecatannya.

Sedih dengan pemecatannya, Tian Chua turut membangkitkan tindakan Jawatankuasa Disiplin PKR yang mengumumkan keputusan itu sebelum memaklumkan kepadanya sebagai tidak profesional dan tidak sopan.

"Sebagai aktivis PKR yang menyaksikan kelahiran gerakan ini dan terlibat berterusan dalam perjuangan selama lebih dua dekad, sudah tentunya saya sedih dan kecewa dengan keputusan tersebut.

"Sepanjang perjalanan perjuangan ini, saya tidak sekali pun pernah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip atau objektif politik parti. Hati nurani saya bersih," katanya.

Dia juga berkata akan terus berjuang untuk pembaharuan dan rakyat walaupun tidak lagi bersama PKR.

"Saya menyertai perjuangan Reformasi sejak 1998 hanya dengan tujuan membawa perubahan demokrasi kepada tanah air. Saya sedikit pun tidak menyesali setiap minit yang ditabur dalam perjuangan ini," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS