Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ada Adun yang hati mereka masih bersatu dengan Bersatu, kata Hamzah
Diterbitkan:  Jan 8, 2023 7:26 PM
Dikemaskini: 11:32 AM

Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin mendakwa ada di kalangan Adun Sabah yang keluar parti bulan lepas berat hati meninggalkan parti itu.

Dia berkata mereka yang mengikut Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor untuk keluar Bersatu berbuat demikian semata-mata untuk mengekalkan kestabilan kerajaan negeri.

“Saya telah bercakap dengan mereka (bekas Adun Bersatu Sabah), ada yang kata bahawa hatinya masih bersatu dengan Bersatu.

"Tapi atas sifat untuk menentukan bahawa kepimpinan Sabah itu tidak bertukar so they would like to remain with Hajiji (Mereka ingin kekal bersama Hajiji," katanya pada sidang media di Kota Kinabalu hari ini.

Tidak jelas bila Hamzah bertemu bekas Adun Bersatu Sabah, atau berapa ramai daripada mereka yang masih setia kepada parti itu 'secara rahsia'.

Hajiji mengetuai sebahagian besar Adun Bersatu Sabah keluar daripada parti itu bulan lepas untuk menjadi ahli langsung gabungan GRS.

Ini selepas GRS menyokong Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai perdana menteri dan bukannya Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai isu lompat parti di peringkat persekutuan membabitkan empat ahli parlimen GRS - yang kini sedang diperhalusi oleh Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul.

Mereka yang melompat parti mendakwa membatalkan keahlian dalam Bersatu sebelum pilihan raya umum ke-15, dengan menyertai GRS sebagai ahli langsung.

‘Umno patut ikut perjanjian’

Di sebalik pengkhianatan itu, Hamzah - yang merupakan ketua pembangkang Parlimen - berkata kestabilan di Sabah adalah penting.

Justeru, dia berkata BN dan Umno Sabah sepatutnya mengotakan janji pada 2020 untuk menyokong Hajiji sebagai ketua menteri.

"Hajiji dilantik mengikut apa yang dinyatakan dalam perjanjian - sementara itu Umno patut ikut perjanjian itu," katanya.

BN dan Bersatu menjalinkan kerjasama pada pilihan raya negeri Sabah 2020.

Pada Jumaat lalu, BN Sabah - yang mempunyai 17 kerusi - menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Ini selepas Hajiji memecat Salleh Said Keruak sebagai pengerusi Qhazanah Sabah dan usaha untuk merombak kabinet negeri.

Bagaimanapun, rampasan kuasa yang dirancang itu gagal selepas lima Adun BN Sabah mengekalkan sokongan kepada Hajiji - yang kini mempunyai sokongan 44 Adun untuk terus berkuasa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS