Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM beri perhatian khusus isu Sabah lepas balik dari Jakarta

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dia akan memberi perhatian khusus kepada situasi politik di Sabah sebaik pulang dari lawatan kerja ke Indonesia.

"Insya Allah, balik dari Jakarta saya akan bagi perhatian khusus kepada perkembangan Sabah," katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Petaling Jaya, hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata keadaan di negeri terbabit masih terkawal dan kerajaan negeri tidak terjejas ketika ini.

Jelas Anwar, dia sudah bercakap sendiri dengan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, manakala Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pula berbincang dengan Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin.

"Keadaan macam itulah... saya sudah bercakap dengan Ketua Menteri Hajiji dan saya difahamkan Zahid sudah bercakap dengan Bung Moktar.

"Keadaan terkawal untuk seketika.

"Insya-Allah kita dapat pastikan keadaan pengurusan kerajaan negeri tak terjejas kerana keutamana kita ialah menjana pertumbuhan ekonomi dan jaga kepentingan rakyat," katanya.

Anwar dijadualkan mengadakan lawatan kerja ke Jakarta, Indonesia esok hingga Isnin.

Semalam, Bung Moktar mengumumkan BN Sabah menarik balik sokongan terhadap Hajiji sebagai ketua menteri kerana hilang kepercayaan, sekali gus menarik diri daripada kerajaan negeri.

Bung Moktar berkata keputusan itu dibuat selepas mesyuarat bersama Adun dari parti mereka.

Bung mendakwa Hajiji melanggar persefahaman politik dengan BN Sabah yang diadakan ketika memberikan sokongan terhadapnya sebagai ketua menteri selepas pilihan raya negeri Sabah.

Bagaimanapun lima Adun BN Sabah menolak langkah yang diambil Bung Moktar.

Tiada jemputan ke PAU setakat ini

Mengulas mengenai jemputan ke Perhimpunan Agung Umno (PAU), Anwar berkata sehingga kini dia belum menerima sebarang jemputan.

"Dalam politik atau kehidupan tak boleh seandainya, sekarang belum ada jemputan. Lagi pun ini soal parti Umno, saya Keadilan (PKR)," katanya ketika ditanya mengenai PAU yang akan berlangsung minggu depan.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, berkata Mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini turut membincangkan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bagaimanapun, katanya, isu kerjasama dengan BN untuk menghadapi PRN belum dibincangkan lagi.

"Fokus kita untuk mempertahankan tiga negeri yang dikuasai PH, serta menjadi pembangkang berkesan di Kelantan dan Terengganu serta peluang seimbang untuk PH di Kedah," katanya.

Sementara itu Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzli memaklum kerajaan kekal memberikan jawatan pegerusi jawatankuasa kira-kira wang negara (PAC) kepada pembangkang.

Ia penting bagi memastikan proses semak dan imbang dapat berlaku dengan baik bagi memastikan ketelusan dalam pentadbiran kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS