Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MN lantik Zuraida, Santhara Kumar dan Pak Wan jadi timbalan presiden
Diterbitkan:  Jan 7, 2023 4:16 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

Dua bekas ahli parlimen PKR yang terlibat dalam Langkah Sheraton serta seorang lagi dari Bersatu dinamakan sebagai timbalan presiden untuk pertubuhan Muafakat Nasional (MN) pimpinan Annuar Musa.

Mereka ialah Zuraida Kamaruddin dan Edmund Santhara Kumar Ramanaidu, selain Mohd Redzuan Md Yusof.

Zuraida ialah bekas naib presiden PKR yang mewakili kawasan Ampang sebelum kalah dalam cubaannya mempertahankan kerusi tersebut pada PRU ke-15 lalu.

Dia baru-baru ini dipecat daripada Parti Bangsa Malaysia.

Santhara Kumar pula bekas ahli parlimen Segamat yang memenangi kerusi tersebut atas tiket PKR. Kedua-dua mereka menyertai sembilan lagi ahli parlimen parti itu yang berpaling tadah untuk menyertai Bersatu dalam Langkah Sheraton pada akhir Feb 2020.

Mohd Redzuan - yang turut dikenali sebagai Pak Wan - pula pernah menganggotai kabinet PH. Dalam PRU ke-15 pada Nov tahun lalu dia dicalonkan oleh PN untuk mempertahankan kerusi parlimen Alor Gajah namun kecundang kepada calon PH, Adly Zahari.

Pelantikan mereka itu diumumkan Annuar. Bekas menteri yang dipecat dari Umno itu juga mengumumkan seorang lagi tokoh dipilih menjadi timbalannya iaitu penceramah dan pensyarah, Ridhuan Tee Abdullah.

Menurut laporan portal berita FMT, Annuar mengumumkan pelantikan tersebut hari ini selepas mengadakan mesyuarat pertama jawatankuasa tertinggi MN pertama pada tahun ini.

Annuar juga berkata MN menubuhkan enam kluster bagi memperkuat organisasi tersebut.

Kluster berkenaan ialah ekonomi; sosial dan kebajikan; pendidikan dan kenegaraan; politik dan kepimpinan; belia dan mahasiswa; serta media sosial dan seni budaya.

“Enam kluster dibentuk supaya setiapnya membuat perbincangan susulan dalam aspek yang lebih spesifik,” kata Annuar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS