Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO desak S'gor batal hasrat kenakan tambang bas PJ pada warga asing
Diterbitkan:  Jan 5, 2023 3:54 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Kalangan yang mempertahankan kadar bayaran 90 sen kepada warga asing bagi menggunakan perkhidmatan Bas PJ City gagal meyakinkan NGO Lawyers for Liberty (LFL), yang membangkitkan kesan dasar baru itu kepada pekerja asing.

"Keputusan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBJ) untuk mengenakan dasar yang teruk ini terhadap perkhidmatan pengangkutan awam yang sepatutnya percuma adalah mengejutkan.

"Jay Jay Denis, pegawai khas kepada menteri besar Selangor, menjamin tambang itu 'tidak bermaksud untuk mendiskriminasi' dan bukan untuk keuntungan kerana ia tidak cukup pun untuk menampung kos perkhidmatan.

"Namun, ia membangkitkan persoalan mengapa tambang bersifat diskriminasi ini perlu dikenakan terhadap kumpulan pengguna paling miskin, seperti pekerja migran," kata pengarah LFL Zaid Malek dalam kenyataan hari ini.

Menyifatkan keputusan itu sebagai "tidak rasional dan semberono", Zaid berkata langkah itu boleh dilihat sebagai diskriminasi (bigotry).

Zaid Malek

Ia juga tersirat dalam kenyataan pegawai menteri besar Selangor, apabila dia menekankan keutamaan perkhidmatan Bas PJ City adalah untuk warga Malaysia, seolah-olah warga asing mengambil manfaat daripada pembayar cukai warga Malaysia.

"Ia naratif yang sering digunakan untuk menjustifikasikan dasar diskriminasi terhadap warga asing," katanya lagi.

'Pekerja asing adalah tulang belakang'

Zaid berkata lagi, tak dapat dinafikan pekerja asing adalah tulang belakang kepada negara ini sebagai aspek penting dalam banyak industri utama.

"Mereka bukan saja penting dalam pembangunan negara tetapi turut menyumbang kepada cukai dan ekonomi," katanya, memetik apa yang dibangkitkan Irene Xavier dari Persatuan Sahabat Wanita Selangor, bahawa belanjawan 2022 menganggarkan RM1.7 bilion akan dikutip dari warga asing pada tahun itu.

"Ramai dalam komuniti warga asing bekerja dalam pekerjaan yang tidak akan dibuat oleh orang tempatan, dengan gaji yang lebih rendah dan keadaan yang sukar sehingga ada yang menjadi mangsa eksploitasi buruh.

"Tambang bas ini adalah lambang masalah diskriminasi yang lebih besar yang dihadapi golongan rentan ini di tangan pihak berkuasa.

"Xenofobia tidak boleh menjadi sebahagian dalam dasar kerajaan - di peringkat pusat atau negeri - terutama di Selangor yang ditadbir PH yang menjanjikan reformasi," katanya lagi.

Justeru, LFL menggesa kerajaan Selangor menarik balik pelaksanaan kadar tambang itu yang dijadual berkuat kuasa 15 Januari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS