Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jawatan presiden dipertandingkan? Terserah pada perwakilan - Zahid

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata dia terbuka untuk dicabar oleh sesiapa sahaja yang berhasrat untuk memegang jawatan nombor satu parti itu pada pemilihan parti akan datang.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata ia bagi memberi peluang kepada kira-kira 160,000 perwakilan untuk memilih pucuk pimpinan parti khususnya bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis Amanat Tahun Baru 2023 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Ahmad Zahid berkata terserah kepada perwakilan Umno untuk membuat pilihan masing-masing sekali gus menentukan hala tuju parti bagi memastikan Umno kekal relevan di pentas politik.

“Kuasa mutlak adalah kuasa perwakilan yang mewakili cawangan dan bahagian masing-masing di seluruh negara,” katanya ketika ditanya sama ada dua jawatan utama parti itu akan dipertandingkan dalam pemilihan akan datang, yang perlu diadakan tidak lebih enam bulan selepas PRU diadakan.

Pada pemilihan yang diadakan pada 2018, Ahmad Zahid dipilih sebagai presiden setelah menewaskan dua pencabarnya iaitu Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah, dengan memperoleh 93 undi berbanding Khairy (51) dan Tengku Razaleigh (23).

“Dalam pemilihan sebelum ini (2018), saya dicabar dua ahli parti namun keputusan memihak kepada saya. Bukan riak, bukan sombong dan takbur tapi ini terbukti pada 2018,” katanya.

Ditanya sama ada parti itu akan menjemput mana-mana parti gabungan dalam kerajaan perpaduan untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU2022) minggu depan, Ahmad Zahid berkata Umno mengambil pendirian untuk tidak berbuat demikian.

PAU2022 asalnya dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 24 Dis lepas tetapi ditangguhkan kepada 11 hingga 14 Jan ini.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS