Muda menggesa supaya Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (RUU IPCMC) 2019 dibawa ke parlimen dengan kadar segera.
Ini susulan dakwaan seorang remaja perempuan, mangsa rogol yang berusia 16 tahun bahawa dia telah diperkosa oleh pegawai polis ketika dipanggil untuk membantu siasatan kesnya.
"RUU IPCMC bukan hanya bertujuan untuk melakukan pertuduhan dan menghukum pihak berkuasa semata-mata.
"Penubuhan badan yang lebih bebas, adil dan telus di bawah RUU IPCMC ini akan bantu mengembalikan dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pasukan polis," kata Syed Saddiq pada satu kenyataan hari ini.
Dia juga menyeru pihak kerajaan untuk mengambil tindakan sewajarnya dan kembali membentangkan RUU IPCMC pada sidang Dewan Rakyat pada Februari ini "agar kejadian ini tidak berulang lagi."
"Kementerian Dalam Negeri harus mencontohi langkah proaktif yang diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memastikan ketulusan pegawai penguatkuasa kesihatan serta menjaga kebajikan mereka dengan melengkapi anggota-anggota ini dengan pemakaian kamera badan.
"Aduan-aduan yang melibatkan kepentingan orang awam tidak boleh dibiarkan sunyi sepi tanpa khabar berita dan tiada tindakan yang diambil," katanya lagi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said ketika maklum balas segera terhadap laporan kes ini pada 2 Jan berkata terdapat peraturan khusus untuk mengendalikan mangsa penderaan seksual kanak-kanak.
“Saya memandang serius kes ini dan menegaskan terdapat prosedur khusus untuk mengendalikan mangsa kanak-kanak iaitu Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 dan Garis Panduan Pengurusan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.
"Tiada siapa yang berada di atas undang-undang,” tegasnya.
Menurut garis panduan itu, polis perlu membawa mangsa yang disyaki penderaan seksual kanak-kanak ke hospital kerajaan, bagi tujuan pemeriksaan dan rawatan.
Sebaik tiba di jabatan kecemasan hospital, mangsa akan dikendalikan oleh kakitangan perubatan yang telah dilatih mengendalikan kes disyaki penderaan dan pengabaian kanak-kanak (Scan).
Azalina, yang pernah menjadi menteri undang-undang semasa garis panduan itu digubal pada 2017, bertindak sebagai penasihat jawatankuasa yang menulis garis panduan berkenaan.