Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes letupan: Suami isteri ditahan bantu siasatan
Diterbitkan:  Jan 4, 2023 5:19 PM
Dikemaskini: 9:19 AM

Sepasang suami isteri masing-masing berumur 33 dan 30 tahun, ditahan polis semalam bagi membantu siasatan kes letupan yang mengorbankan seorang pelayan sebuah restoran di Pandan Indah, Ampang, Khamis lepas.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi berkata mereka ditahan pada 7.30 malam di sebuah taman perumahan di Serdang, Kedah.

“Kedua-dua individu itu telah direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Selasa depan dan polis percaya dengan penahanan ini, ia dapat membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sasikala berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kes berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun maut selepas bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet keretanya meletup.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan ada bunyi letupan di tempat kejadian pada 8.55 malam, 29 Dis lepas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS