Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Parti Hijau gesa Anwar arah siasatan kontroversi kuari Bukit Lagong

Perdana Menteri Anwar Ibrahim digesa mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyegerakan siasatan terhadap kerajaan Selangor berhubung kelulusan yang diberikan kepada syarikat yang berkenaan untuk membuka 27 kuari di Hutan Simpan Bukit Lagong di negeri itu.

Ketika dihubungi, setiausaha agung protem Parti Hijau Malaysia, Abdul Razak Ismail berkata, sudah tiba masa yang sesuai untuk perdana menteri menghapuskan dakwaan rasuah dalam kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan.

"Saya menyentuh juga saranan Anwar Ibrahim tentang ada segelintir pegawai-pegawai kerajaan masih mengamalkan rasuah...

"Sebelum Anwar Ibrahim menjadi perdana menteripun, kami sudah tulis kepada Anwar tentang kes Lagong ini kerana kita minta Anwar ambil tindakan sewajarnya untuk buat siasatan.

"Kerana semasa dia jadi ketua pembankang tu, Selangor tu adalah di bawah PH, PKR, agar dia lebih wajar kalau Anwar buatkan siasatan dalaman berlaku salah guna kuasa dan sebagainya.

"Tetapi tiada jawapan diberi oleh Anwar, sampai sekarang dia jadi perdana menteri, saya rasa amat wajar untuk beliau mengarahkan SPRM untuk buat siasatan sewajarnya," kata Razak.

Laporan pertama ke SPRM dibuat pada 2022

Razak, yang pertama kali membuat laporan kepada SPRM Selangor atas kapasitinya sebagai setiausaha kumpulan veteran PKR Otai Reformis 1998 pada Oktober 2022, berkata dia diberitahu bahawa kes itu telah dipindahkan ke ibu pejabat SPRM.

Razak kemudiannya menyertai Parti Hijau Malaysia, sebuah parti politik yang berfokuskan alam sekitar.

Awal hari ini, dia menyerahkan memorandum kepada ibu pejabat SPRM sebagai langkah untuk menyusuli perkembangan siasatan oleh ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Pembalakan dan kuari di Hutan Simpan Bukit Lagong

"Tujuan kita adakan sidang media serahan memorandum ini adalah lanjutan kepada follow up kita , sebenarnya pada 7 Oktober 2022 kepada SPRM Shah Alam, tentang penyalahgunaan kuasa pelanggaran SOP oleh kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan Selangor," kata Razak kepada wartawan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.

Semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pada 2010, kerajaan negeri meluluskan Dasar Moratorium 25 Tahun, yang melarang sebarang aktiviti penebangan hutan di hutan simpan dari 2010 hingga 2035, katanya.

Bagaimanapun, kerajaan negeri Selangor telah menggunakan peruntukan di bawah Seksyen 28 Akta Perhutanan Selangor untuk membenarkan pengambilan hutan melalui 'lesen kecil'.

Ini, dakwa Razak menunjukkan kerajaan negeri menggunakan 'pintu belakang' untuk membenarkan pembersihan tanah dan pembalakan di hutan simpan membabitkan kawasan seluas 887 hektar bagi memberi laluan kepada aktiviti kuari.

Pada September 2020, Malaysiakini melaporkan bahawa kuari akan dibuka di Hutan Simpan Bukit Lagong.

Antara syarikat terbabit termasuk tiga pemaju yang mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri Selangor. Kritikan keras daripada ramai orang, termasuk aktivis dan ahli politik, telah dibangkitkan terhadap isu pembersihan tanah dan pembalakan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS