ULASAN l Sejak kebelakangan ini ramai orang baik rakan-rakan atau orang media yang tanya pandangan saya tentang perlu ke jawatan presiden dan timbalan presiden Umno dipertandingkan pada pemilihan parti nanti.
Bagi saya, buat apa kita nak ada pertandingan dua jawatan utama itu dalam keadaan sekarang jika hanya nanti akan bawa perpecahan dan menggugat perpaduan ketika Umno dalam proses pemulihan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sebab kalau kita sorot sejarah penubuhan 70 tahun Umno hanya empat kali saja berlaku pertandingan untuk jawatan presiden; Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj lawan Ahmad Fuad Hassan (1951); Hussein Onn lawan Sulaiman Ahmad atau juga dikenali sebagai Sulaiman Palestin (1978); Dr Mahathir Mohamad lawan Tengku Razaleigh Hamzah (1987) dan Ahmad Zahid Hamidi lawan empat pencabar (2018).
Kita boleh lihat setiap kali berlaku pertandingan jawatan presiden pastinya berlaku perpecahan dalam Umno. Ahmad Fuad keluar dari Umno dan tubuhkan PAS selepas kalah kepada Tunku Abdul Rahman. Begitu juga Sulaiman tinggalkan parti selepas tumpas kepada Hussein. Manakala Razaleigh pun menjadi punca terbesar perpecahan dalam Umno apabila dia buat parti Semangat 46 dan bawa keluar ramai pemimpin dan ahli parti bersamanya kerana kecewa tumbang kepada Dr Mahathir pada 1987. Manakala pada 2018, selepas tewas, walaupun Khairy Jamaluddin tak keluar dari Umno namun dia dilihat sedikit menjauhkan diri daripada arus perdana parti dan lebih selesa buat hal sendiri.
Adakah kita sanggup nak lihat sekali lagi Umno berpecah dan ada puak-puak atau dua pasukan seperti 40 tahun lalu. Umno sudah banyak kali berpecah bermula dengan wujudnya PAS, Semangat 46, PKR dan Bersatu. Umno tak mampu nak terima perpecahan besar sekali lagi kerana kalau kita pecah lagi maka jangka hayat Umno tak akan lama.
Dan punca utama kepincangan dan kekalahan Umno pada tahun 2018 dulu kerana dua individu; Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim yang sebelumnya berseteru tapi kemudiannya berpakat untuk jatuhkan BN. Akhirnya Anwar dapat juga jadi perdana menteri dan Umno jadi mangsa dengan hanya tinggal 30 kerusi parlimen. Namun kombinasi kerajaan BN dan PH sudah tentu menyakitkan hati kering Dr Mahathir tapi ahli Umno mesti menerima bahawa kombinasi baru inilah yang rakyat majoriti inginkan walaupun bukan yang majoriti ahli mahukan.
Usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan telah dimulakan pada tahun 1996 oleh Umno negeri dan bahagian yang diatur oleh allahyarham ayahanda saya, Mohamed Rahmat yang merupakan setiausaha agong Umno ketika itu sebelum dia dibuang oleh Mahathir.
Sebaik sahaja usul itu diterima maka kekallah Mahathir dan Anwar sebagai presiden dan timbalan presiden pada tahun itu. Tujuan usul itu adalah untuk mengekalkan kedudukan kedua-dua tokoh itu dan mengelakkan pertandingan yang boleh memecahbelahkan perpaduan parti.
Tapi perpecahan tetap berlaku apabila Mahathir memecat Anwar sebagai timbalan perdana menteri keahlian Umno pada 1998 sehingga menyebabkan persisihan dalam Umno dan sokongan Melayu bandar mula beralih kepada. PKR.
Proses tolak ansur itu jugalah yang menjamin kestabilan dan pengukuhan Umno sehinggalah pada 2018 apabila ada pencabar yang mahukan jawatan Presiden selepas Umno/BN kalah pada PRU14.
Zahid yang dipilih sebagai presiden Umno pada 2018 akhirnya berjaya pulihkan semula Umno sehingga parti itu menjadi sebahagian daripada kerajaan selepas kejatuhan PH pada 2019.
Biarpun berdepan dengan pelbagai cabaran selepas cubaan untuk haramkan Umno oleh Mahathir, pendakwaan politik dan pembunuhan karakter oleh pihak lawan, namun parti itu kembali mendapat kepercayaan rakyat dengan menang 7 daripada 12 pilihan raya kecil (PRK) dan berjaya merampas kembali Melaka dan Johor dari PH.
Selepas Umno kalah dan gagal lagi jadi kerajaan pada PRU14, kebijaksanaan Zahid dalam membuat keputusan selepas PRU15 menyaksikan Umno terbukti masih relevan apabila parti itu menjadi penentu kepada penubuhan kerajaan hari ini.
Usah jadikan alasan Umno tidak menang besar pada PRU15 lalu sebagai dalih untuk tukar presiden dan timbalan kerana kekalahan lepas bukan milik Zahid dan Mohamad Hasan sahaja tapi mesti dipikul bersama oleh semua orang. Daripada pemimpin peringkat negeri, bahagian dan cawangan.
Sebaiknya semua orang muhasabah diri, jadikan kekalahan itu sebagai pedoman dan pengajaran untuk kembali bekerja bagi memenangi hati pengundi serta menyerang balas pihak lawan.
Jadilah penyokong setia kepada parti walaupun terpaksa berkorban diri. Saya sendiri sanggup bertanding di Pulai pada PRU15 lalu walaupun sedar kerusi itu adalah kawasan minoriti Melayu dan saya telah nyatakan dari awal lagi bahawa kerusi Parlimen Pulai mustahil untuk menang.
Tapi saya buat demi parti. Saya nak ingatkan ahli Umno supaya tak terpedaya dengan sesetengah ahli parlimen Umno yang menang bawah tiket Umno tapi selepas menang melupakan parti. Macam kacang lupakan kulit seperti ramai ahli parlimen Umno yang melompat dan lebih teruk lagi mereka yang khianat kepada parti dengan bersekongkol dengan Dr Mahathir dan Muhyiddin Yassin sebelum ini.
Sebab itulah saya rasa untuk apa jawatan presiden dan timbalan ini tidak payahlah hendak “lawan-lawan”. Baik kita fokus kepada macam mana nak kukuhkan kembali Umno dan mengembalikan semula kepercayaan rakyat selepas parti difitnah teruk selama ini.
Lagipun dengan kedudukan Zahid sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pembangunan desa dan wilayah merupakan platform terbaik untuk mendekati dan membina semula keyakinan penduduk luar bandar terhadap keupayaan Umno membela rakyat.
Kalau hendak buat pertandingan pun, kita nak angkat siapa jadi presiden baru? Kita nak harapkan orang pengecut yang paling awal lari lintang pukang selepas Umno kali pada PRU14 dulu?
Kita nak bergantung kepada orang yang gagal jadi PM9 atau kita nak serahkan nasib parti kepada orang yang sibuk jadi broker yang selama ini nak jual maruah Umno kepada parti lawan?
Atau kita nak pilih seorang individu yang bergegar-gegar mahu gantikan tempat presiden ketika berceramah di pentas kempen PRU15 lepas tapi akhirnya kalah di negeri liberal. Sudahlah dia sendiri ditolak di negeri sendiri, lepas itu diberi peluang pula bertanding di negeri lain kononnya dia cukup popular tapi tumbang juga.
Kita kena fikirkan banyak benda sebelum nak ikut emosi. Cakap nak tukar pemimpin memang senang tapi nak pastikan pemimpin yang baru angkat itu dapat bela nasib parti, belum tentu.
Sekali lagi saya tegaskan saya menyokong penuh usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan demi perpaduan dan ke arah usaha pemulihan sokongan terhadap Umno.
Nota kaki:
Saya dengar sudah ada seorang ketua bahagian Umno dari Johor yang membawa berpuluh-puluh ketua cawangan Umno makan angin di seberang. Tapi saya cuba bersangka baik. Mungkin ketua bahagian itu dapat arahan daripada “tuan dia” untuk bawa ketua-ketua cawangan yang sudah bertungkus lumus bekerja siang dan malam semasa PRU15 lepas. Nak bagi habuan pada jentera parti kot.
Mungkin tahap ketua-ketua cawangan cukuplah bawa pergi makan angin di negara seberang saja sambil cuci-cuci mata tengok cewek-cewek ganteng di sana. Untuk level ketua-ketua bahagian, nanti mungkin mereka boleh merasa main salji atau pakai baju tebal di Turki. Yalah mana nak sama tahap ketua cawangan dengan ketua bahagian kan? Tapi tak ada hal lah, janji semua kos “tuan besar” akan bereskan.
Tapi saya tak hairan pun dan tidak ada nak kaitkan lawatan makan angin itu dengan pemilihan Umno nanti. Sebab saya dah lama tahu ada geng-geng broker sudah buat gerak kerja untuk pemilihan parti ini sejak sebelum PRU15 lagi. Ketika orang lain sibuk bermesyuarat, taklimat dan susun atur strategi, puak-puak ini buat kerja menyelam sambil minum air. Kononnya buat mesyuarat dan taklimat untuk persiapan PRU15 tapi dalam masa yang sama mereka selit juga agenda nak angkat “tuan besar” mereka jadi presiden Umno!
NUR JAZLAN MOHAMED adalah bekas ahli Parlimen Pulai, Johor. Dia juga adalah timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Johor.
Tulisan ini asalnya dimuatnaikkan di laman sosialnya. Ia adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.