Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan perbicaraan kes rasuah membabitkan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Bung Moktar Radin dan isterinya, Zizie Izette Abdul Samad yang sepatutnya bermula hari ini ditangguhkan sekali lagi.

Pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi, Azhar Abdul Hamid memberikan kebenaran itu sementara menunggu rayuan pasangan itu di Mahkamah Rayuan.

Azhar membuat keputusan itu berikutan permohonan yag dikemukakan oleh peguam kedua-dua tertuduh, M Athimulan dan K Kumaraendran.

Timbalan pendakwa raya, Mohd Sophian Zakaria tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Bung dan Zizie mengemukakan rayuan terhadap keputusan Azhar pada 9 Dis tahun lepas yang menolak permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Terdahulu pada 2 Sept, hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Bung Moktar dan isterinya serta memerintahkan kedua-dua mereka membela diri atas pertuduhan tersebut.

Pada 23 Sept, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pasangan itu untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu semakan berkenaan keputusan Mahkamah Sesyen.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan membangkitkan bantahan awal terhadap permohonan semakan tersebut sebelum Azhar menolak permohonan semakan oleh Bung dan Zizie.

Apabila perkara itu dikemukakan di hadapan Rozina pagi ini, Sophian dan Athimulan memaklumkan hakim bahawa Mahkamah Tinggi memerintahkan penangguhan perbicaraan yang ditetapkan hari ini.

Ketika ditanya bilakah rayuan pasangan itu ditetapkan untuk dibicarakan di Mahkamah Rayuan, Athimulan memaklumkan pengurusan kes ditetapkan di mahkamah rayuan pada 25 Jan

Pada ketika ini, Rozina dengan tegas mengingatkan kedua-dua pihak supaya menyegerakan rayuan berkenaan memandangkan perbicaraan kes rasuah di mahkamah sesyen itu telah berlarutan sejak tiga tahun lalu.

“Ini (kes rasuah Bung dan Zizie) berlarutan sejak 2019. Ia adalah kes 2019, masih belum selesai (tanpa penghujung).

“Jadi terpulang kepada pihak pendakwaan atau pembelaan untuk menulis (kepada Mahkamah Rayuan), supaya perkara itu dapat disegerakan. Pasti kedua-dua tertuduh (Bung dan Zizie) juga ingin melihat kesudahannya.

"Diharapkan kedua-dua pihak akan mengambil langkah yang lebih positif agar Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh awal (untuk mendengar rayuan pasangan itu)," kata Rozina kepada pasukan pendakwaan dan pembelaan.

Hakim Mahkamah Sesyen kemudian menetapkan sebutan pada 27 Jan untuk pihak yang berkenaan memaklumkan perkembangan rayuan kes tersebut.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Dia didakwa menerima rasuah daripada ejen Public Mutual iaitu Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di Kuala Lumpur antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

Dia juga didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS