Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jurulatih tampar pemain patut didakwa - Wanita PKR
Diterbitkan:  Jan 2, 2023 5:37 PM
Dikemaskini: 9:37 AM

Biro Guaman dan Undang-undang Wanita PKR menyeru atlet yang mengalami penderaan supaya tampil mendapatkan bantuan.

Ini berikutan kemarahan orang ramai terhadap seorang jurulatih yang menampar dua pemain bola tampar wanita semasa kejohanan bawah 14 tahun pada 16 Dis tahun lepas.

Biro Wanita PKR itu berkata serangan tersebut merupakan satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda RM2,000, penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

"Malahan, Wanita PKR berpendapat bahawa tindakan ini merupakan satu eksploitasi kepada kanak-kanak di bawah umur," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Biro Wanita PKR itu juga menggesa siasatan bebas menyeluruh mengenai isu ini daripada pihak berkuasa, termasuk polis, Kementerian Pendidikan, Kementeria Belia dan Sukan serta persatuan sukan.

"Siasatan ini juga penting bagi memastikan kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi, dalam apa-apa ruang sekalipun serta bagi memberi satu mesej yang jelas bahawa kekerasan dan penderaan fizikal bukanlah sesuatu yang normal dan tidak patut diamalkan oleh mana-mana pihak lebih-lebih lagi terhadap kanak-kanak di bawah umur yang sepatutnya mendapat sokongan dan perlindungan.

"Wanita PKR juga menyeru agar mana-mana pemain yang pernah menghadapi situasi seperti ini bolehtampil ke hadapan dan mendapatkan bantuan daripada pihak yang sepatutnya dan jaminan perlindungan hendaklah diberikan kepada mangsa supaya isu seperti ini tidak menjadi satu isu yang ditutup atau digelapkan oleh mana-mana pihak," katanya lagi.

Kejadian menampar itu sempat dirakam dalam video Persatuan Bola Tampar Malaysia mengenai perlawanan antara pasukan Melaka dan Johor.

Perkara itu mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang memberi jaminan akan melakukan siasatan bebas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS