Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Anwar pengerusikan mesyuarat PH hadapi PRN sebelum Tahun Baru Cina'

Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan mesyuarat PH di peringkat pusat sebelum Tahun Baru Cina bagi persediaan menghadapi PRN, kata Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

Lim berkata mesyuarat itu antaranya akan membincangkan mengenai kerjasama kerajaan perpaduan di peringkat pusat dan negeri bagi menghadapi PRN, pengagihan kerusi antara parti dan pemilihan calon.

"Kami telah mengadakan mesyuarat dengan Anwar minggu lepas dan dia menyatakan satu mesyuarat akan diadakan sebelum Tahun Baru Cina iaitu minggu ketiga bulan ini (Tahun Baru Cina pada 22 Jan).

"Mesyuarat itu akan bincang secara terperinci mengenai kerjasama kerajaan perpaduan di peringkat pusat dan juga di kerajaan negeri masing-masing dalam menghadapi PRN," katanya kepada pemberita dalam sidang media, yang turut dihadiri Setiausaha DAP Pulau Pinang Lim Hui Ying di George Town, hari ini.

Enam negeri yang akan terlibat dengan PRN tahun ini ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu, Hui Ying yang juga timbalan menteri pendidikan berkata DAP Pulau Pinang telah melantik bekas ahli parlimen Bukit Bendera Wong Hon Wai sebagai pengarah kempen PRN 2023.

"Wong merupakan seorang ahli politik yang berpengalaman dan dia akan memimpin kempen PRN Pulau Pinang yang dijangka pada pertengahan tahun ini," katanya.

Dia berkata Wong juga akan berkhidmat sebagai setiausaha politik Guan Eng dalam membantu ahli parlimen Bagan itu menjalankan tugas sebagai Pengerusi DAP Kebangsaan.

Sementara itu Hui Ying berkata bagi menghadapi PRN, DAP Pulau Pinang memfokuskan tiga perkara iaitu pemulihan ekonomi negeri pasca pandemik Covid-19, program kebajikan rakyat dan mengekalkan keharmonian masyarakat.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS