Masalah kekurangan bekalan telur di pasaran tempatan adalah fenomena sementara dan kerajaan sudah mengambil langkah bersesuaian bagi mengatasi masalah itu, kata Fuziah Salleh.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata antara langkah segera yang diambil kerajaan adalah membenarkan import telur bagi menstabilkan semula bekalan di negara ini.
“Sebenarnya dalam negara kita ini, ketiadaan (bekalan) telur adalah fenomena sementara dan sekarang kita mengatasi kekurangan tersebut dengan mengimport telur untuk memastikan jumlah (bekalan) cukup dalam pasaran.
“Kita (rakyat Malaysia) ini banyak menggunakan telur, purata satu hari 32 juta, maksudnya seoang makan sebiji telur. Jadi kalau ada yang tak makan (telur) dia boleh ‘cover’ baliklah buat mereka (pengusaha) yang buat kuih dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.
Pada 6 Disember lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu dilaporkan berkata kerajaan bersetuju mengimport telur ayam dari beberapa sumber luar sebagai pelan jangka pendek untuk menampung keperluan bekalan dalam negara.
Dia berkata kerajaan juga akan memastikan telur ayam yang diimport selamat daripada penyakit dan menepati piawaian ditetapkan, selain memastikan protokol serta tatacara ditetapkan kerajaan dipatuhi tanpa kompromi.
Dalam pada itu, Fuziah memberitahu kekurangan bekalan telur di pasaran dijangka dapat diselesaikan selewat-lewatnya enam bulan lagi.
“Apa yang tak cukup sekarang ini dalam 14 peratus, kita import dan sementara kita dapatkan bekalan, mungkin mengambil masa dalam enam bulan, lepas itu insya-Allah kita dapat stabilkan balik bekalan,” katanya.