Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tangguh laksana gaji minimum RM1,500 keputusan kabinet'

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar menafikan penangguhan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 ke atas majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja dibuat tanpa persetujuan kabinet.

Berjanji untuk menangani perkara itu, dia memberitahu Malaysiakini bahawa keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat kabinet pada Rabu lalu.

Sivakumar mengulas dakwaan sejumlah pihak bahawa dia membuat keputusan sendiri berhubung penangguhan itu setelah dipengaruhi majikan.

Antara yang membuat dakwaan itu ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan yang turut mendakwa penangguhan itu bukan diputuskan kabinet.

Terdahulu, Arutchelvan mempersoalkan jika Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mempunyai "pengaruh" terhadap Sivakumar.

Majikan yang mempunyai kurang lima pekerja pada mulanya dikecualikan daripada pelaksanaan gaji minimum sehingga 1 Jan 2023. Dasar itu berkuat kuasa bermula 1 Mei 2022.

Namun pada Selasa lalu, Sivakumar mengumumkan penangguhan itu dilanjutkan lagi sehingga 1 Julai 2023.

Keputusan itu mengundang kekecewaan pihak seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Gabungan Pembaharuan Undang-undang Buruh (LLRC) yang mendakwa ia dibuat tanpa perbincangan dengan kumpulan pekerja.

Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor menyifatkan perbuatan itu sebagai tanda tidak hormat kerajaan terhadap pekerja.

Pengerusi bersama LLRC N Gopal Kishnam pula mengingatkan kerajaan tentang manifesto PH bagi PRU 2018 untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 dengan berkongsi perbezaan kos sebanyak RM500 secara sama rata dengan majikan.

Langkah mitigasi sedang dilaksanakan

Sivakumar menjelaskan kerajaan cuba mengimbangi beban yang ditanggung perniagaan yang sedang dalam pemulihan selepas wabak Covid-19, pada masa sama melaksanakan faedah baru yang diperkenalkan dalam Akta Kerja 1955/22.

"Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) belum pulih sepenuhnya daripada kesan pandemik dan jika kita masukkan ini (menaikkan gaji minimum kepada RM1,500) ia akan membebankan lagi PKS.

"Tetapi pekerja akan terus menikmati faedah baru seperti penambahan cuti bersalin dan paterniti serta waktu kerja yang fleksibel apabila pindaan Akta Pekerjaan berkuat kuasa 1 Jan 2023.

"Jadi, kami cuba lakukan sesuatu untuk majikan PKS dan telah memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan gaji minimum enam bulan lagi," jelasnya.

Bagaimanapun, Sivakumar berkata kementerian sedang mengusahakan penyelesaian yang akan memperbaiki keadaan semasa dan berharap untuk membawanya dalam mesyuarat kabinet minggu depan.

Tidak menjelaskan mengenai sama ada cadangan itu akan memberi manfaat kepada pekerja atau majikan, Sivakumar berkata: "Saya tidak mahu berkata apa-apa sehingga saya membangkitkannya dengan kabinet," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS