CGS-CIMB Securities Sdn Bhd (CGS-CIMB) mengunjurkan inflasi Malaysia berada pada 3.0 peratus tahun ke tahun pada 2023, berbanding unjuran bagi 2022 pada 3.3 peratus tahun ke tahun.
Ketua Ekonomi, Nazmi Idrus berkata campur tangan kerajaan dalam perkara seperti harga ayam, petrol dan bayaran tol akan terus membendung sebahagian inflasi dalam jangka masa terdekat.
“Bagaimanapun, kenaikan harga elektrik untuk pengguna bukan domestik serta bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) (voltan rendah) baru-baru ini akan berkuat kuasa pada Januari 2023, dan kami menjangkakan ini mendorong sedikit peningkatan ke atas inflasi keseluruhan.
“Pengiraan kami menunjukkan kemungkinan Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat sebanyak 10 mata asas tahun ke tahun pada Januari berdasarkan unjuran kami bagi 2023, kerana kira-kira 60 peratus pengguna elektrik di negara ini ialah pengguna bukan domestik, dan daripada jumlah ini, 60 peratus adalah bukan PKS,” katanya menerusi nota penyelidikan pada Jumaat.
Elektrik membebani bakul IHP sebanyak 2.7 peratus namun kesan pusingan kedua mungkin sedikit lebih besar, katanya.
Nazmi berkata selain itu, pertumbuhan inflasi teras November 2022 yang tinggi mencerminkan keadaan permintaan domestik yang kukuh pada bulan itu, menyokong kitaran normalisasi kadar berterusan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Kenyataan BNM pada November memberikan peringatan yang jelas bahawa tekanan inflasi berkemungkinan kekal pada 2023, dan bank pusat juga menekankan kesediaannya untuk kekal cenderung kepada kadar faedah tinggi, jika perlu.
“Kami mengunjurkan dua lagi kenaikan sebanyak 25 mata asas ke atas kadar dasar semalaman (OPR) kepada 3.25 peratus berdasarkan unjuran kami bagi 2023,” katanya.
Pada November 2022, IHP Malaysia meningkat 0.3 peratus bulan ke bulan (2022 Oktober: +0.2 peratus bulan ke bulan) dan 4.0 peratus tahun ke tahun (sama dengan Oktober 2022).
Sementara itu, inflasi teras meningkat 0.4 peratus bulan ke bulan (2022 Oktober: +0.1 peratus bulan ke bulan), meningkatkan pertumbuhan tahun ke tahun kepada 4.2 peratus (Oktober 2022:+4.1 peratus) didorong oleh dua komponen iaitu makanan; serta hotel dan restoran.
Dalam perkembangan yang sama, Moody’s Analytics juga mengunjurkan inflasi Malaysia mulai sederhana tahun depan apabila tekanan dari segi penawaran semakin berkurangan.
Ahli Ekonominya, Denise Cheok berkata walau bagaimanapun, tekanan dari segi permintaan pula mula meningkat sejak pembukaan semula ekonomi pascapandemik.
“BNM berkemungkinan meneruskan dasar kenaikan kadar faedah hingga awal tahun depan memandangkan bank pusat itu telah mengulangi pendiriannya yang cenderung kepada kadar faedah tinggi semasa mesyuarat pada November dengan menjelaskan bahawa ia akan “menguruskan risiko permintaan yang berlebihan ekoran tekanan harga secara lebih awal”,” katanya dalam nota penyelidikan.
Bagi 2022, bank pusat telah menaikkan kadar faedah sebanyak empat kali -- 100 mata asas (bps) secara terkumpul -- membawa OPR kepada 2.75 peratus.
Beliau berkata ekonomi Malaysia dijangka mulai perlahan pada 2023 selepas prestasi luar biasa pada 2022, dengan permintaan luaran terhadap barangan perkilangan semakin lemah, terutama disebabkan oleh ekonomi China yang lembap.
Bagaimanapun, perdagangan eksport Malaysia dengan ekonomi-ekonomi Asia Tenggara, serta dengan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah kekal teguh, katanya.
“Malaysia juga cenderung mendapat manfaat daripada lencongan perdagangan dari China, kerana syarikat-syarikat mengubah laluan rantaian bekalan mereka ke lokasi alternatif. Trend ini akan melindungi Malaysia daripada kelemahan permintaan China terhadap eksport Malaysia.
“Malaysia menempatkan pengeluar cip semikonduktor utama, dan pertumbuhan pembuatan di sini sebelum ini disokong oleh kekurangan cip global. Bagaimanapun, permintaan yang perlahan terhadap elektronik pengguna di tengah-tengah kelemahan dalam ekonomi global mula dirasai dan akan menjejaskan pembuatan tahun depan,” katanya.
- Bernama