Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemangsa seksual di Telegram 'scam' gadis bawah umur hantar foto, video

Seorang pelajar berusia 14 tahun di Selangor ditipu untuk mengambil dan menghantar gambarnya berbogel kepada pemangsa seksual selepas pelaku menyamar sebagai guru sekolahnya dan doktor.

Kejadian 15 Disember lalu berlaku apabila mangsa dihubungi melalui aplikasi sembang Telegram oleh 'Dr Fatin', yang berpura-pura mengenali salah seorang guru di sekolah gadis itu.

Mangsa yang tidak curiga yang percaya bahawa dia bercakap dengan 'doktor' kemudian bersetuju untuk meneruskan pemeriksaan perubatan dalam talian yang dikatakan itu, dengan dia dikehendaki menghantar gambar tubuhnya.

Difahamkan, pelaku kemudiannya menyamar sebagai guru sekolah mangsa, juga melalui Telegram, dalam usaha meminta mangsa menghantar video.

Ketua Polis Daerah Klang Utara S Vijaya Rao.

Bagaimanapun, perkara ini berjaya dihalang oleh ibu bapa kanak-kanak perempuan itu apabila mengetahui apa yang berlaku dan segera menghubungi pihak pengurusan sekolah, yang menafikan pihak sekolah mempunyai pemeriksaan sedemikian.

Ketua Polis Daerah Klang Utara S Vijaya Rao ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan menerima laporan daripada mangsa yang datang kepada polis pada hari yang sama.

Menurut pegawai itu, guru wanita yang namanya digunakan dalam kejadian itu juga telah membuat laporan polis menafikan penglibatannya, manakala 'Dr Fatin' dipercayai hanya identiti palsu yang digunakan pelaku.

Vijaya Rao berkata mereka mengesyaki bahawa ia boleh menjadi taktik baru oleh penipu, yang biasanya akan memeras wang daripada mangsa mereka dengan mengugut untuk menyebarkan gambar mereka dalam talian.

Setakat ini, gadis itu atau keluarganya masih belum menerima sebarang tuntutan wang.

"Itu modus operandi terbaru bagi scammer.

"Ini sekarang taktik terbaru cari budak sekolah pulak.

"Siasatan bawah Seksyen 12, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak. Polis akan merujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta pihak lain untuk kenalpasti pemilik akaun (Telegram itu)," katanya kepada Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS