Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelayan restoran maut bungkusan meletup di Ampang
Diterbitkan:  Dec 30, 2022 9:33 AM
Dikemaskini: 1:34 AM

Seorang pelayan di sebuah restoran maut selepas bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet keretanya meletup di Jalan Pandan Indah 12/1, Pandan Indah, Ampang di Kuala Lumpur malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata pihaknya menerima panggilan orang awam memaklumkan ada bunyi letupan di tempat kejadian yang berlaku pada 8.55 malam.

“Mangsa seorang lelaki tempatan berumur 28 tahun mengambil satu bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet keretanya jenis Toyota Corolla Altis. Apabila mangsa memegang bungkusan itu terus berlaku letupan dipercayai daripada bungkusan berkenaan.

“Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan tangan telah dikejarkan ke Hospital Ampang untuk rawatan disahkan meninggal dunia pada 9.45 malam di hospital berkenaan,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini.

Mohamad Farouk berkata hasil siasatan di lokasi kejadian, polis menemukan beberapa objek dan kesan letupan antaranya kesan lekukan pada kereta mangsa.

Mengulas sama ada di lokasi kejadian mempunyai rakaman kamera litar tertutup, beliau enggan mengulas lanjut dan siasatan masih dilakukan.

“Motif kejadian berkenaan masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS