Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM siasat penjualan saham TM dalam Menara KL
Diterbitkan:  Dec 29, 2022 8:04 PM
Dikemaskini: 12:04 PM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan terhadap isu penjualan 10,000,000 saham milik Telekom Malaysia Bhd (TM) dalam Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd.

Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd adalah syarikat yang menguruskan Menara KL.

SPRM berkata pihaknya sedang menyiasat jika wujud unsur rasuah dalam penjualan kesemua saham milik TM kepada syarikat bernama Hydroshoppe Sdn Bhd pada Oktober lalu.

"SPRM mengesahkan sedang menyiasat dakwaan penjualan saham mencurigakan hak milik pengurusan Menara KL.

"SPRM akan menyiasat sama ada wujudnya elemen rasuah dalam penjualan 100 peratus saham TM di dalam Syarikat Menara KL Sdn Bhd (MKLSB) kepada Hydroshoppe Sdn Bhd (HSB) pada Oktober 2022," kata SPRM dalam kenyataan hari ini.

SPRM berkata setakat ini seramai tiga orang saksi telah dipanggil serta telah mendapatkan beberapa dokumen daripada pihak berkaitan.

Terdahulu minggu ini, isu penjualan saham dalam Menara KL Sdn Bhd telah dibangkitkan di media sosial.

Urus niaga itu mengundang perhatian kerana syarikat pengurusan itu dikatakan sangat menguntungkan, pada masa sama syarikat yang membeli saham TM tidak dikenali.

TM hari ini berkata pihaknya memutuskan untuk tidak lagi memegang konsesi bagi pengurusan Menara KL kerana mahu menumpukan kepada perniagaan terasnya iaitu perkhidmatan telekomunikasi.

TM juga berkata proses untuk memilih pemegang konsesi baru dibuat oleh kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS