Hari ini masuk hari ketiga lebih 80 pekerja SSN Medical Products Sdn Bhd mengadakan mogok dalam usaha terakhir mereka menuntut gaji dan bayaran kerja lebih masa tertunggak berjumlah lebih RM400,000.
Semalam, pengurusan kilang sarung tangan getah di Balakong, Selangor itu mencapai persetujuan dengan pekerja untuk menyelesaikan gaji pokok untuk bulan November sebelum 30 Disember ini.
Sebelum tarikh itu, mereka tidak akan masuk bekerja.
Kilang yang memiliki 100 pekerja itu juga setuju untuk menjelaskan bayaran kerja lebih masa bagi bulan November sebelum 6 Januari.
Persetujuan itu ditandatangani ketua operasi syarikat, Fatim Hanimah Abd Karim dan turut menjanjikan pelan pembayaran lima bulan bagi kerja lebih masa dan gaji tertunggak.
Tidak diwakili kesatuan sekerja, pekerja dibantu oleh PSM Kajang dalam rundingan.
Pengerusi PSM Kajang S Koyilvani berkata mereka akan melakukan tindakan susulan jika syarikat gagal mematuhi persetujuan itu.
Namun gaji dan bayaran kerja lebih masa untuk bulan ini tidak dibincangkan.
Pemegang saham majoriti dan pengarah SSN Medical Products, Clinton Ang berkata gaji bulan ini akan dibayar mengikut masa dan menafikan bahawa gaji pekerja banyak kali tertangguh.
Mengakui kelambatan gaji untuk bulan ini, Ang berkata ia disebabkan industri sarung tangan getah global sedang berdepan "waktu sukar".
Dia mengangarkan syarikat kerugian sehingga RM500,000 susulan penghentian operasi selama lima hari kerana mogok pekerja.
Dia turut mendakwa beberapa pekerja warga Bangladesh dengan masalah disiplin sebagai pencetus mogok, sambil berkata mereka telah "menikmati semuanya selama lebih dua tahun".
"Ini bukan kali pertama mereka henti bekerja dan pembuat kacau menghalang orang lain untuk bekerja.
"Mereka malah menghalang pekerja kontrak kawan saya daripada masuk ke kilang saya.
"Mereka sengaja memilih hari cuti umum untuk melakukannya," katanya.
Namun, menurut penyedia analisis data emis.com, SSN Medical Products melaporkan peningkatan hasil jualan bersih sebanyak 116.11 peratus pada 2021, dengan pertumbuhan keseluruhan 57.12 peratus.
Selepas persetujuan dicapai, kebanyakan pekerja pulang ke tempat tinggal mereka yang terletak dalam kawasan kilang, bimbang untuk meninggalkan kawasan itu tanpa pasport.
Pekerja memberitahu Malaysiakini mereka tidak memegang sendiri pasport mereka selama empat tahun bekerja dengan syarikat itu.
Pekerja juga memaklumkan kebanyakan yang bekerja di kilang itu adalah warga asing - 70 dari Bangladesh, lapan warga Nepal, tiga warga Indonesia dan tiga warga Myanmar - dengan dua syif.
Pekerja warga Bangladesh menuntut gaji kerja lebih masa dari Jun hingga Oktober tahun ini serta gaji tertunggak sejak Februari 2020.
Rekod PSM menunjukkan kumpulan pekerja Bangladesh yang bertemu dengan mereka tidak mendapat antara RM4,000 hingga RM9,000 gaji dan bayaran kerja lebih masa.
Khan Sagor, 34, yang mengetuai kumpulan pekerja itu memberitahu Malaysiakini bahawa mereka bimbang dengan situasi mereka kerana tidak memegang pasport dan takut dihantar pulang ke negara asal tanpa mendapat gaji yang tertunggak.
Mendakwa telah membayar RM18,000 kepada ejen di Bangladesh untuk datang ke Malaysia, Khan berkata dia telah menjelaskan pinjaman bank tetapi tetap berhutang dengan rakan-rakan di kampung halaman, yang membantu keluarganya setiap kali dia tidak menerima gaji.
Pekerja juga bimbang ditangkap Jabatan Imigresen kerana mereka tidak pasti jika SSN Medical Products telah memperbaharui permit kerja mereka.
Anggota PSM D Letchimi Devi berkata pasport semua pekerja Bangladesh masih sah namun hanya 16 pekerja yang memiliki permit pekerja yang sah.
Bagi pekerja lain, cap jari biometrik mereka akan tamat tempoh akhir bulan ini.
"Majikan sepatutnya menyelesaikan permohonan permit sebelum cap jari biometrik tamat tempoh namun belum ada tanda ia telah dilakukan.
"Majikan berdepan denda sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja jika gagal mengambil pekerja dengan dokumen lengkap dan ini akan memburukkan lagi keadaan," katanya.
Katanya lagi, pekerja juga berdepan ancaman penguatkuasaan undang-undang akibat status imigresen walaupun itu bukan salah mereka.
Dia memaklumkan pekerja warga Bangladesh adalah antara 130 pekerja yang diambil SSN Medical Products menerusi perjanjian antara kerajaan Malaysia dan Bangladesh.
Dia turut bekerja pekerja telah membuat aduan dengan Jabatan Tenaga Kerja pada 2020 namun tiada tindakan diambil.
"Kami juga telah berhubung dengan Kedutaan bangladesh namun mereka tidak memberi apa-apa bantuan untuk menyelesaikan perkara ini," katanya lagi.
Khan pula berkata, mereka akhirnya menarik balik aduan yang difailkan di Jabatan Tenaga Kerja Bangi selepas SSN Medical Products berjanji untuk menjelaskan semua bayaran tertunggak, namun janji itu tidak ditunaikan.
Sementara itu, beberapa pekerja yang telah berhenti akhirnya memilih untuk kembali bekerja di kilang itu kerana mereka tidak dapat pulang ke negara asal.
Molla MD Akram, 29, berkata dia berhenti kerja pada September lalu selepas gagal dalam pemeriksaan kesihatan setahun sebelumnya, dan mahu pulang ke kampung halaman.
"Doktor beritahu jantung saya ada masalah tetapi saya terus bekerja di sini kerana saya tak boleh pulang," katanya.