mk-logo
Berita
Haniza: Sng abai keputusan parti agar serah jawatan pada Zuraida
Diterbitkan:  Dec 26, 2022 4:14 PM
Dikemaskini: 8:14 AM

Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Larry Sng membelakangi perjanjian dan mandat yang diputuskan anggota parti dalam persidangan agung tahunan untuk menyerahkan jawatannya kepada Zuraida Kamaruddin, dakwa timbalan presiden Haniza Talha.

Haniza berkata, pimpinan PBM menolak kepimpinan Sng dan menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk menyiasat keabsahan Sng selaku presiden parti yang sah.

Katanya, sikap Sng yang membelakangi apa yang diputuskan dalam perhipunan itu menyebabkan PBM kini terumbang-ambing dan ahlinya dalam kekeliruan.

"Sewajarnya Sng menyerahkan jawatannya kepada Zuraida sepertimana yang telah dipersetujui oleh semua ahli PBM pada perhimpunan agung tahunan yang lepas dan tidak memanipulasi keadaan sehingga menjadi kucar kacir seperti ini.

"Kegagalan Sng dalam mentadbir dan menguruskan parti juga jelas terserlah apabila dia dengan semberono menggunakan jawatannya untuk kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan kesan terhadap ahli-ahli PBM di seluruh negara," kata Haniza dalam kenyataan hari ini.

Sng sebelum ini menyangkal bahawa Zuraida adalah presiden PBM yang sah, dengan menegaskan ia masih memegang jawatan itu. ROS kemudian mengesahkan perkara itu.

Larry Sng

Pada 28 Oktober lalu, Sng menggantung keanggotaan Zuraida dan 12 anggota Majlis Tertinggi parti atas dakwaan menjejaskan kepentingan parti dan kepimpinannya.

Dia juga mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Zuraida dan beberapa pemimpin parti lain dan perlu memberi respons selewat-lewatnya hari ini.

Hari ini Haniza berkata Sng telah menggunakan surat watikah pelantikan calon dalam PRU15 untuk mengugut kepimpinan PBM agar akur kepadanya.

"Selepas PRU15 berakhir, dia menggunakan PBM untuk menjalin kerjasama dengan parti-parti lain tanpa berbincang dahulu dengan mana-mana pemimpin atau ahli parti," dakwa Haniza yang merupakan bekas pemimpin PKR.

Sng merupakan satu-satunya ahli parlimen dalam PBM selepas mengekalkan kemenangannya di Julau pada PRU lalu.

Haniza juga menyifatkan Sng sebagai tidak matang apabila "merajuk" kerana tidak tersenarai dalam barisan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Tindakan ini jelas memaparkan bahawa dia tidak langsung memikirkan kehendak ahli parti dan hanya bertindak demi kepentingan peribadi semata-mata.

"Sng telah menggunakan parti ini hanya sebagai batu loncatan untuk mendapatkan pengaruh dan jawatan di peringkat nasional dan tidak memaparkan langsung nilai-nilai yang dipegang oleh PBM untuk pembangunan seluruh rakyat.

"Dengan tegas, saya serta rakan-rakan pimpinan menolak sepenuhnya kepimpinan Sng sebagai presiden PBM," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS