mk-logo
Berita
Lim gesa k'jaan tangani penghijrahan keluar bakat negara
Diterbitkan:  Dec 26, 2022 1:52 PM
Dikemaskini: 5:52 AM

Jabatan Perdana Menteri digesa menubuhkan satu unit khas untuk membendung kehilangan golongan pekerja mahir dan profesional negara yang berhijrah, terutamanya ke Singapura.

Veteran DAP Lim Kit Siang berkata kerajaan mesti menjalankan dasar agresif untuk mewujudkan situasi yang menarik minat golongan ini kekal berkhidmat di dalam negara.

"Sudah tiba masanya untuk Malaysia mengiktiraf rakyat Malaysia yang berbakat, terutamanya dalam sektor sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) sebagai salah satu sumber utama dalam ekonomi berasaskan pengetahuan yang memainkan peranan kritikal dalam pertumbuhan ekonomi dan inovasi teknologi di Malaysia.

"Malaysia memerlukan sebuah program untuk mengurangkan kehilangan bakat dari dalam negara dan juga satu dasar untuk menarik bakat-bakat untuk ke Malaysia," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Lim memetik laporan Sin Chew Daily semalam yang mendakwa Singapura mempunyai dasar untuk 'merampas' sekitar 300 hingga 400 sumber manusia dari sekolah swasta Cina di Malaysia sejak 2015.

Graduan ini kemudiannya dilatih di Singapura dan kemudian kekal untuk membantu ekonomi negara itu berkembang.

Dia juga merujuk laporan Malaysiakini yang memetik bekas dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya Dr Adeeba Kamarulzaman yang mendakwa sekurang-kurangnya 30 daripada graduan perubatan terbaik Universiti Malaya terlepas ke Singapura.

Bagi setiap graduan ini, kata Adeeba, kerajaan Malaysia membelanjakan RM1 juta untuk melatih mereka.

Lim berkata sebagai permulaan, kerajaan harus menyelesaikan rungutan dan aduan pekerja penjagaan kesihatan dan menyelesaikan masalah doktor kontrak.

"Malaysia tidak memerlukan doktor kontrak, sebaliknya mereka ini sepatutnya diserap ke dalam sistem kesihatan awam negara," kata Lim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS