Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
K'jaan sumbang RM80,000 pada 2 keluarga mangsa tanah runtuh

Kerajaan menyerahkan sumbangan berjumlah RM80,000 kepada dua keluarga mangsa tanah runtuh di Batang Kali, Selangor hari ini.

Sumbangan disampaikan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Md Akin kepada Lai Hua Kiong, 54, dan Tai Seng Fui, 63, di Kampung Machap Baru di sini hari ini.

Lai kehilangan empat ahli keluarganya iaitu Lai Chee Sam, 33, Lai See Tin, 33, Giselle Lai Yu Xi, 6, dan Jonas Lai Ze Kai, 2 , manakala Tai juga kehilangan empat ahli keluarga iaitu Tai Chang Lin, 35, Yu Siew Pay, 34, Tai Jing Key, 7, (he) dan Tai Jing Rou, 4.

Shamsul Iskandar berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan berharap sumbangan itu dapat meringankan beban ditanggung keluarga berkenaan.

"Yang kedua, perdana menteri turut menyampaikan rasa terima kasih yang mendalam kepada seluruh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang bertungkus lumus sehingga semalam dan ini tentunya menuntut kepada satu komitmen yang tinggi.

"Tentunya perdana menteri dan kerajaan memandang tinggi usaha-usaha mereka, dan kita harap ia dapat jadi contoh kepada agensi-agensi lain agar dapat bekerja dalam satu pasukan dan bersungguh-sungguh untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat," katanya kepada pemberita di Alor Gajah, Melaka hari ini.

Hadir sama Exco Perrpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem, Timbalan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Khairul Shahril Idrus dan Ketua PKR Alor Gajah Ginie Lim Siew Lin.

Sementara itu Khairul Shahril berkata sumbangan akan diberikan bergantung kepada kesediaan waris untuk menerimanya memandangkan ada ahli keluarga yang masih bersedih dengan kejadian itu.

Katanya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga akan membuat bayaran kepada waris mangsa dengan mengambil kira tentang keperluan pihak terbabit.

Tragedi pada awal pagi 16 Dis lepas itu, membabitkan 92 mangsa dengan 61 daripadanya terselamat, manakala 31 individu yang terdiri daripada 18 dewasa dan 13 kanak-kanak, terkorban selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS