Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mayat terakhir tragedi tanah runtuh ditemukan dalam beg tidur
Diterbitkan:  Dec 24, 2022 5:57 PM
Dikemaskini: 11:51 AM

Mayat terakhir mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di Batang Kali ditemukan pada pukul 4.53 petang tadi.

Bernama melaporkan mayat kanak-kanak lelaki berusia lingkungan tujuh hingga 12 tahun itu dijumpai dalam beg tidur pada kedalaman tanah 1.5 meter.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah berkata mayat berkenaan ditemukan dalam keadaan telungkup di tebing bukit kira-kira empat meter dari tapak perkhemahan berkenaan di Sektor A (hill view).

Menurutnya mayat itu dijumpai lengkap berpakaian dalam keadaan sempurna, namun sudah mula mereput dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan bagi kerja-kerja pemeriksaan dan siasatan bagi memastikan kawasan terbabit benar-benar selamat.

"Kami menjangkakan jika tiada halangan dan perkembangan terbaharu, keputusan penamatan SAR akan dimaklumkan esok," katanya pada sidang media selepas penemuan mangsa terakhir tragedi tanah runtuh tapak perkhemahan itu, hari ini.

Dalam tragedi yang berlaku pada 2.42 pagi 16 Dis lalu, seramai 31 mangsa terkorban manakala 61 lagi selamat.

Seramai 92 mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS