Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Allah takdirkan BN jadi penentu pembentukan k'jaan, kata Zahid

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kerajaan perpaduan yang terbentuk hari ini sebagai stau “ketentuan Allah.”

Menyorot pelbagai persepsi negatif yang dilemparkan kepadanya dan Umno-BN sejak sebelum PRU ke-15 dia berkata, atas faktor itulah parti berkenaan mengalami kekalahan teruk.

Keadaan itu, katanya, menjadikan mereka kekurangan kerusi untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Pun begitu Ahmad Zahid yang menang tipis semasa mempertahankan kerusinya di Bagan Datuk menegaskan, dalam keadaan begitulah Umno-BN menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan pusat, bukannya parti lain.

“Tanpa kami sombong atau rasa berbesar hati… tapi kita (BN) telah tentukan bahawa tanpa 30 (kerusi) ini, yang 82 (PH) takkan terbentuk kerajaan.

“Kita lihat Allah tentukan bahawa 82 campur 30, cukuplah 112 (kerusi minumum) untuk kita bentuk kerajaan," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam ucapannya pada majlis makan tengah hari meraikan pembentukan kerajaan di Shah Alam, Selangor hari ini.

Dah kenal lalu jatuh cinta

Tambah pengerusi BN berkenaan, keadaan sama dapat dilihat apabila wujud kerjasama pelbagai parti termasuk dari Sabah dan Sarawak untuk membentuk kerajaan yang kukuh.

"Apabila undi di Dewan (Rakyat) cukup-cukup 148 kerusi itu untuk membentuk majoriti dua pertiga,” katanya.

Bagaimanapun, dia berkata, perbezaan politik dan kisah lalu membabitkan parti kerajaan perlu diketepikan demi menjaga kestabilan negara dan kebajikan rakyat selepas terbentuknya kerajaan.

“Bila dah kenal... dah jatuh cinta, dan tidak ada lagi persepsi negatif. Kami dalam Umno dan BN tidak seburuk bagaimana gambaran diberikan.

“Kami berpegang kepada prinsip bahawa negara ini perlu diwujudkan sebagai negara yang stabil, politik yang stabil, demi pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Maka soal itu jelas, bagaimana untuk kita maju ke hadapan, pastikan ada food on the table, money in the pocket," katanya.

Dia yang juga presiden Umno berkata, apabila semua perkara penting itu difahami maka sebarang elemen perbezaan akan dapat diketepikan.

Untuk mencapai objektif itu, tambahnya, sekretariat kerajaan perpaduan dibentuk untuk meneliti setiap manifesto yang dikemukakan oleh parti dan mencari persamaan antara satu sama lain.

Sementara itu dalam perkembanan lain Ahmad Zahid mengumumkan penubuhan jawatankuasa pelaksanaan dan pemantauan kos sara hidup untuk mengatasi beban rakyat.

Katanya dia diarahkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk bekerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi bagi menubuhkan jawatankuasa berkenaan.

“Saya telah bekerjasama dengan menteri-menteri tertentu yang menjaga portfolio mengenai kos sara hidup ini bersama-sama ketua-ketua setiausaha dan ketua pengarah, serta pegawai kanan lain untuk menangani permasalahan ini secara tuntas.

“Kita lihat dalam tempoh sebulan ini juga beberapa pengumuman dilakukan dan perubahan-perubahan diumumkan selepas setiap mesyuarat mingguan kabinet.

“Ia sudah tentu melegakan rakyat,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS