Menteri Ekonomi berkata usaha untuk menangani inflasi perlu melibatkan semua pihak.
Rafizi membuat gesaan itu dalam sidang media yang disiarkan secara langsung hari ini, untuk mengumumkan kadar inflasi bagi bulan November.
Dia berkata pengguna turut menjadi sebab harga makanan terus meningkat di negara ini.
"Usaha mengawal inflasi memerlukan kerjasama semua pihak, baik dari kerajaan, peniaga, sehinggalah kepada rakyat.
"Sudah tentu pihak kerajaan setakat ini telah campur tangan dalam aspek bekalan, cuma kita juga perlu kembali (mengambil langkah) dari segi permintaan," katanya lagi.
Dia berkata antara langkah campur tangan kerajaan adalah mengimport telur dari luar negara dan menambah kapasiti pengeluaran untuk jangka masa sederhana agar bekalan tidak dimonopoli beberapa pembekal sahaja.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata jika pengguna tidak membeli atau menggunakan barangan yang mengalami kenaikan harga secara tidak wajar, peniaga dan pembekal akan merasakan mereka tidak patut menaikkan harga secara sewenang-wenangnya.
"Walaupun harga makanan dan minuman bukan alkohol terus naik, orang ramai terus membeli dan membayar pada harga lebih tinggi yang dikenakan peniaga.
"Ini sedikit sebanyak menyumbang kepada kenaikan harga barang makanan dan minuman bukan alkohol yang terus naik dan dirasakan tidak turun.
"By right (sewajarnya) kalau harga ayam dah mahal sangat, kita patut kurangkan makan ayam," katanya lagi.
Ketidakanjalan permintaan
Rafizi berkata data menunjukkan faktor utama berkaitan kenaikan harga adalah ketidakanjalan dalam aspek perimntaan.
Sesuatu produk dianggap "tidak anjal" oleh ahli ekonomi apabila walaupun mengalami kenaikan harga, pengguna tetap membelinya pada jumlah yang sama.
Dengan kadar inflasi empat peratus bagi November, harga makanan dan minuman bukan alkohol tetap menunjukkan trend peningkatan, kekal melebihi kadar tujuh peratus dan mengalami peningkatan dalam indeks harga pengguna.
Menurut data, makanan dan minuman adalah bahagian terbesar dalam purata perbelanjaan isi rumah iaitu 30 peratus, dan perbelanjaan makan di luar pula 11 peratus.
Subsidi bersasar
Pada minggu lalu, Rafizi berkata kerajaan akan memperkenalkan subsidi bersasar sebagai sebahagian langkah membasmi kemiskinan.
Dalam sidang media hari ini, dia berkata kerajaan akan membangunkan mekanisme baru untuk subsidi bersasar tak lama lagi.
"Selepas tiga mesyuarat kabinet, jelas yang kita perlu percepatkan langkah memperkenalkan sistem subsidi bersasar berdasarkan indeks," katanya sambil menambah ia akan dilaksanakan dalam tempoh beberapa bulan lagi.
"Untuk memastikan mekanisme dan indeks (yang diwujudkan) adalah sesuatu berlaku adil, supaya tiada tercicir. Tetapi amat penting juga supaya ia dilaksanakan cepat, dan kita tak boleh sembang subsidi bersasar ini dua atau tiga tahun lagi," katanya lagi.