Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan akan buat libat urus, teliti peruntukan dalam Sosma
Diterbitkan:  Dec 23, 2022 4:44 PM
Dikemaskini: 8:44 AM

Kerajaan setuju untuk meneliti beberapa peruntukan tertentu dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan akan melakukan libat urus dengan pihak berkepentingan, menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh.

Ramkarpal berkata dia telah bertemu dengan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, yang sebelum ini mengundang kritikan brhubung pendiriannya terhadap akta kontroversi itu, untuk berbincang tentang pelbagai isu berkaitan undang-undang.

"Antara lain, kami telah berbincang berkenaan Sosma dan keperluan bagi akta ini dikaji secara lebih lanjut bagi menangani pelbagai aspeknya yang telah menerima kritikan seperti peruntukkan yang mengehadkan pemberian jaminan.

"Saya gembira untuk mengumumkan bahawa Saifuddin telah bersetuju dengan cadangan saya untuk memulakan sesi libat urus yang sewajarnya bersama kesemua pihak berkepentingan yang terlibat bagi tujuan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkenaan perkara ini.

"Saya akan menjemput kesemua pihak berkepentingan, termasuk pegawai-pegawai daripada KDN dan PDRM, untuk segera memulakan proses ini," katanya lagi.

Semalam, tokoh veteran DAP Lim Kit Siang menggesa kerajaan untuk mengutamakan reformasi undang-undang dan membangkitkan beberapa wakil rakyat parti itu pernah ditahan di bawah Sosma atas dakwaa ada kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Memorandum kepada Saifuddin

Pada Selasa lalu, tiga ahli parlimen PH termasuk V Ganabatirau dari DAP menyerahkan memorandum kepada Saifuddin bagi menggesa undang-undang itu disemak semula dan agar tahanannya dibenarkan ikat jamin.

Ganabatirau adalah antara lima pemimpin Hindraf yang pernah ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2007.

"Saya ditahan tanpa bicara selama 455 hari.

"Saya tahu apa yang dilalui para tahanan dan saya terkilan bila masih ada yang percaya Sosma tidak sepatutnya dimansuhkan," katanya kepada pemberita.

Sosma digubal bagi menggantikan ISA yang dimansuhkan ketika pentadbiran Najib Razak.

Antara yang hadir ketika penyerahan memorandum di luar Parlimen itu adalah keluarga 57 individu yang didakwa merupakan anggota "Geng Sakai" dan "Geng 08 GST" yang telah ditahan di Penjara Sungai Buluh sejak Jun 2021 dan 2022.

Kedua-duanya dijangka dibicarakan di mahkamah pada 2024 selepas didakwa di bawah Kanun Keseksaan.

Pihak keluarga antara lain meminta Saifuddin menyemak semula peruntukan dalam akta tersebut, yang disifatkan tidak adil dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Memorandum itu turut membangkitkan kesan negatif Sosma terhadap ahli keluarga tahanan, yang kebanyakannya berpendapatan rendah atau tahanan menjadi satu-satunya pencari nafkah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS