Rapid Rail Sdn Bhd memaklumkan ia sedang giat menjalankan kerja-kerja baik pulih fasiliti bagi perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel di beberapa stesen rel di sekitar Lembah Klang.
Proses baik pulih itu melibatkan perkhidmatan eskalator, kebocoran di stesen, sistem pencahayaan di stesen dan lif.
“Projek naik taraf akan bermula pada suku pertama tahun 2023 dan memerlukan masa selama 18 bulan untuk disiapkan,” menurut Rapid Rail dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, Rapid Rail telah menerima alat ganti bagi fasa 1 pada awal Disember lalu, setelah mengalami kelewatan penghantaran disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan global.
Oleh itu, kerja-kerja penggantian segera telah dijalankan oleh kontraktor pengilang pengeluar asal atau “original equipment manufacturer” (OEM) secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan Februari 2023.
“Setakat 15 Disember 2022, proses penggantian 20 unit handrail dan tiga unit stepchain di 10 stesen MRT telah disiapkan, dan eskalator di stesen- stesen berkenaan telah kembali beroperasi.
“Sebagai langkah jangka panjang, Rapid Rail telah melaksanakan program penyelenggaraan berasaskan keadaan atau ‘condition based maintenance’ (CBM) di mana proses mengganti komponen yang dinilai akan rosak atau kerap bermasalah akan terus dilaksanakan tanpa menunggu jangka hayat tamat,” katanya.
Baik pulih siap sepenuhnya Jun 2023
Bagi kebocoran di stesen, ia telah mengenalpasti masalah tersebut di 93 lokasi, di mana kerja-kerja membaik pulih di 21 lokasi di stesen LRT dan Monorel telah berjaya disiapkan dan bakinya akan diselesai secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2023.
“Bagi kerja-kerja baik pulih di stesen MRT, perbincangan bersama pihak MRT Corporation (MRTC) selaku pemilik aset telah dijalankan.
“Proses pembaikan di 22 lokasi kebocoran telah dilakukan dan pemantauan keberkesanan kerja-kerja baik pulih tersebut sedang dilaksanakan,” katanya.
Manakala bagi sistem pencahayaan di stesen, yang melibatkan kerja-kerja membaik pulih sistem pendawaian dan penggantian mentol bermasalah di stesen-stesen, telah hampir selesai.
“Rapid Rail telah menjalankan program pemeriksaan serta penyelenggaraan berkala dan buat masa ini bilangan lampu yang tidak berfungsi adalah di bawah satu peratus.
“Baki lampu yang masih tidak berfungsi merupakan kerosakan baru dan penggantian segera akan dilakukan,” katanya.
Ketersediaan lif pada tahap 99 peratus
Tambahnya, peratusan ketersediaan operasi fasiliti lif di stesen LRT dan MRT kini berada pada tahap 99 peratus.
“Aktiviti penyelenggaraan sentiasa dilakukan secara berkala bagi memastikan fasiliti yang disediakan untuk pengguna berada dalam keadaan yang baik,” katanya.
Dalam pada masa sama, Rapid KL memaklumkan bahawa Prasarana telah mengambil inisiatif untuk menambah 18 unit lif dan 39 unit platform lif kerusi roda (wheelchair platform lift) untuk keselesaan orang awam.
Katanya, reka bentuk asal lif di stesen-stesen monorel tidak mempunyai fasiliti lif yang sesuai.
“Kerja-kerja menaik taraf fasiliti lif di monorel ini memerlukan penambahbaikan dari segi struktur dan juga melibatkan beberapa isu keselamatan yang perlu dibaiki,” katanya.