Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Tommy Thomas benarkan Shahrir didakwa walau siasatan tak lengkap - Saksi

Seorang pegawai penyiasat SPRM memberi keterangan bahawa peguam negara sebelum ini, Tommy Thomas memberikan kebenaran agar bekas pengerusi Felda, Shahrir Samad didakwa di mahkamah atas pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM1 juta walaupun kertas siasatan (IP) pada masa itu tidak lengkap.

Penolong Penguasa SPRM, Nurzahidah Yacop memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa IP berkenaan tidak lengkap kerana pihak berkuasa tidak menyiasat dakwaan tertuduh bahawa wang RM1 juta itu adalah bayaran balik dan bukannya pendapatan.

Semasa perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan Shahrir hari ini, saksi pendakwaan ke-22 itu berkata SPRM pada 2019 hanya menyiasat RM1 juta yang masuk ke akaun Shahrir melalui cek daripada perdana menteri ketika itu, Najib Razak pada 28 Nov 2013.

Sambil dilihat tertuduh dari kandang tertuduh, saksi mengesahkan Shahrir memberitahu SPRM sebanyak lapan kali semasa siasatan bahawa wang RM1 juta itu adalah bayaran balik untuk aktiviti politik, dengan tertuduh merujuk kepada banyak transaksi perbankan sebelum ini yang menunjukkan dia mengeluarkan RM2.6 juta untuk kegiatan politik (sebelum RM1 juta itu masuk ke akaun tersebut).

Nurzahidah berkata apabila dia memaklumkan kepada pihak atasan mengenai dakwaan Shahrir dan sama ada dia perlu meneruskannya, pihak atasan didakwa tidak memberi sebarang maklum balas terhadap perkara itu (IP kemudiannya dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut).

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros, Nurzahidah berkata pada 15 Jan 2020, dia menerima semula IP daripada anggota pendakwaan, dengan persetujuan yang ditandatangani daripada Thomas untuk mendakwa Shahrir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur (kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi).

Syed Faisal: Sebagai IO (pegawai penyiasat) SPRM kamu ingin menjalankan tugas kamu dengan jujur, kamu tahu IP tidak lengkap, tetapi kamu menerima perintah untuk membuat pendakwaan oleh Peguam Negara Tommy Thomas, tetapi melihat keseluruhan latar belakang ini kamu merasakan siasatan itu adalah tidak lengkap. Saya mencadangkan bahawa anak guam saya didakwaberdasarkan IP yang tidak lengkap.

Nurzahidah: Ya.

Thomas dilantik sebagai AG ketika pentadbiran kerajaan PH pada 2018. Bagaimanapun, dia meletakkan jawatan pada Feb 2020 berikutan Langkah Sheraton yang membawa kepada pembentukan kerajaan PN ketika itu. Tugasnya kemudian diambil alih oleh Idrus Harun.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-15, kerajaan kini diterajui oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Penyata bank

Terdahulu, apabila Syed Faisal menunjukkan Nurzahidah penyata-penyata bank berhubung aliran keluar lebih RM2.6 juta daripada akaun Shahrir sebelum kemasukan RM1 juta itu, saksi itu berkata dia tidak diberikan dokumen berkenaan semasa siasatannya pada 2019.

Apabila peguam bertanya sama ada adalah adil untuk SPRM tidak menyiasat transaksi bank sebelum kemasukan RM1 juta itu, saksi berkata ia tidak (adil).

Syed Faisal: Kamu mahu menjalankan siasatan sendiri (Berhubung dakwaan bahawa RM1 juta itu adalah bayaran balik) tetapi kamu takut melanggar arahan pegawai atasan kamu?

Nurzahidah: Betul.

Prosiding di hadapan hakim Muhammad Jamil Hussin akan disambung semula pada 5 Jan tahun depan.

Semalam, Nurzahidah memberi keterangan bahawa RM1 juta yang diterima Shahrir daripada Najib adalah untuk menggantikan wang pencennya, yang digunakan untuk kegiatan politik di kawasan parlimen Johor Bahru.

Sebelum ini, peguam Shahrir, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin memberitahu mahkamah bahawa RM1 juta itu adalah bayaran balik dan oleh sebab itu tidak dikenakan cukai.

Shahrir didakwa melakukan pengubahan wang haram dengan tidak mengisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bayaran RM1 juta sebagai sebahagian daripada pendapatan sebenarnya dalam penyata cukai pendapatan bagi 2013.

Mengikut kertas pertuduhan, wang itu, yang didakwa daripada aktiviti menyalahi undang-undang, didakwa diterima daripada Najib melalui cek.

Kesalahan itu boleh membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM5 juta, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS