mk-logo
Berita
Cuaca sejuk melampau landa AS, Korea Selatan
Diterbitkan:  Dec 23, 2022 11:36 AM
Dikemaskini: 3:47 AM

GLOBAL | Cuaca sejuk melampau yang melanda seluruh Amerika Syarikat (AS) menjejaskan perjalanan percutian menjelang Krismas.

Pusat Perkhidmatan Ramalan Cuaca Kebangsaan pada Khamis menerusi Twitter memaklumkan bahawa "berlaku penurunan suhu yang luar biasa dan angin kencang berbahaya dan letusan salji".

Ribut musim sejuk berkemungkinan besar boleh menjadi taufan, dijangka mencipta rekod suhu rendah pada hujung minggu Krismas di banyak bahagian di AS, lapor Xinhua.

Presiden Joe Biden memberitahu wartawan bahawa Rumah Putih setakat ini telah berhubung dengan 26 gabenor di wilayah yang terjejas.

"Sila ambil perhatian serius terhadap ribut ini. Ini bukan seperti salji biasa...Ini perkara yang serius," kata beliau.

Gabenor Kentucky Andy Beshear menggesa orang ramai supaya mengelak daripada berada di jalan raya kerana negeri itu sedang bersiap sedia untuk menghadapi cuaca sejuk yang dasyat.

"Jika anda perlu melakukan perjalanan atas tuntutan kerja, sila ikuti langkah keselamatan dan sediakan kit kenderaan di dalam kereta anda," tulis Beshear di Twitter.

Pada Khamis, syarikat penerbangan telah membatalkan lebih 2,000 penerbangan keluar dan masuk, menurut FlightAware.

Sementara itu, Korea Selatan pula menyaksikan hari paling sejuk pada Jumaat pada musim sejuk kali ini dengan suhu -13.6°C dicatatkan di Seoul, lapor Agensi Berita Yonhap.

Menurut Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA) suhu beku disertai salji tebal melanda di bahagian selatan negara ini termasuk di Chungcheong dan Jeolla serta pulau peranginan Jeju.

Di kawasan pedalaman dan pergunungan di wilayah Gangwon, masing-masing merekodkan suhu -20°C dan -26.3°C, paras terendah setakat ini.

Cuaca sejuk dijangka berterusan sehingga Krismas pada Ahad.

Amaran salji lebat

Selain itu, salji tebal di bahagian selatan negara itu dicatatkan untuk tempoh dua hari berturut-turut pada Jumaat, menyebabkan berlaku nahas jalan raya, penutupan jalan raya dan pembatalan perkhidmatan penerbangan.

Setakat 6 pagi, kawasan pergunungan di pulau peranginan Jeju telah menerima salji sehingga 75.9 sentimeter, menurut KMA.

Banyak penerbangan di pulau itu telah dibatalkan sejak dua hari lalu, menurut pegawai lapangan terbang.

Semua perkhidmatan feri penumpang yang menghubungkan tanah besar ke pulau itu turut dibatalkan susulan amaran angin kencang yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Amaran salji lebat juga dikeluarkan untuk bahagian selatan negara itu termasuk Chungcheong dan Jeolla, menurut KMA.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS