Pejuang perlu menjalinkan kerjasama dengan parti-parti dalam pembangkang mahu pun kerajaan demi survival politiknya, kata penganalisis politik susulan kekalahan teruk parti itu dalam PRU15 serta peletakan jawatan sejumlah pemimpinnya.
Prof Rusdi Omar dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata hayat Pejuang tidak akan lama tanpa bimbingan Dr Mahathir Mohamad yang telah meletakkan jawatan sebagai pengerusinya.
"Akar umbi Pejuang ini hanya di Kedah sahaja, di tempat lain bergantung kepada PH. Sebelum ini pun semua yang ada dalam Pejuang ini merupakan calon-calon yang bertanding dibawah PH pada PRU 14 lalu.
"Bila Mahathir tak ada, saya tak nampak sejauh mana mereka akan terus bertahan. Jadi kalau nak bertahan, mereka kena bersama dengan PH-BN atau PN," katanya kepada Malaysiakini.
Rusdi berkata demikian ketika mengulas pandangan agar parti serpihan Bersatu itu mengambil pendekatan mesra kerajaan.
Malaysiakini sebelum ini difahamkan terdapat ketegangan dalaman berpunca daripada hala tuju parti selepas kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu, yang juga menyebabkan beberapa pemimpin bertindak meninggalkan parti.
Satu sumber berkata terdapat pandangan supaya Pejuang mengambil pendekatan mesra kerajaan baru dengan harapan dapat memasuki pilihan raya negeri tahun depan dengan lebih mudah.
Satu pihak lagi pula didakwa mahu Pejuang kekal bebas dan dibina semula dari bawah.
Bagaimanapun, ia masih dakwaan sebelah pihak dan belum disahkan dengan pihak lain.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata pendekatan tersebut perlu dibuat Pejuang kerana parti itu tidak cukup kuat untuk berdiri sendiri.
Katanya, apatah lagi apabila parti lain juga saling bekerjasama seperti Amanah, PKR dan DAP dalam PH dan Bersatu dengan PAS dalam PN.
Malah, katanya lagi, pendekatan itu sepatutnya telah diambil ketika PRU lalu namun Mahathir enggan berbuat demikian.
"Kesan daripada (kekalahan dalam) PRU15 menunjukkan sokongan kepada Pejuang semakin mengecil," katanya lagi, sambil menambah Pejuang kini perlu membuat pilihan, sama ada bersama kerajaan atau pembangkang.
Mohd Azizuddin Mohd Sani (gambar) dari Universiti Utara Malaysia pula berkata Mukhriz Mahathir selaku presiden perlu tegas dalam membuat pilihan itu.
"Mukhriz kena tegas dan tak perlu hirau mereka yang tidak mahu bersama dengan keputusan parti. Mereka boleh keluar parti," katanya.
Walaupun itu berisiko melemahkan lagi Pejuang, dia berkata ia lebih baik berbanding parti itu terus berdepan masalah dalaman.
"Ini perkara normal dalam menentukan hala tuju parti yang mana tidak semua akan bersertuju," katanya lagi.
'Lebih baik PH berbanding PN'
Rusdi dan Azizuddin sependapat bahawa masa depan Pejuang lebih cerah jika bersama PH berbanding PN, termasuk dalam PRN yang akan diadakan pada tahun depan.
"Lihat Bersatu dengan PAS, semua orang tak sangka Bersatu dan PAS boleh dapat kerusi paling banyak. Tetapi disebabkan kerjasama politik yang jitu mereka boleh bentuk kerajaan di beberapa negeri.
"Jadi,perkara yang sama juga mungkin akan berlaku kepada Pejuang," kata Rusdi.
Dia juga melihat kerjasama Pejuang dengan PH mampu menyekat kemaraan PN di Kedah.
Azizuddin pula berkata Pejuang akan mendapat tempat lebih baik jika bersama pihak dalam kerajaan dan dia yakin Mukhriz sendiri dapat melihat perkara itu.
"Mereka parti baru yang perlu dapatkan sokongan untuk bina kekuatan dan rasionalnya bersama dengan parti dalam kerajaan akan beri peluang yang lebih baik. Namun ia bergantung juga kepada PH.
"Lebih kelebihan untuk mendapat tempat dan diterima. Contohnya, di Kedah saya nampak peluang untuk bertanding dan menang lebih baik bersama PH berbanding dengan PN," katanya.
Dia berkata para pemimpin dan ahli yang tidak dapat menerima keputusan itu boleh saja keluar dari Pejuang.
"Cuma, jika keputusan ini benda yang begitu besar saya rasa lebih baik bubar saja (parti)," katanya lagi.