Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'RM1 juta dari Najib untuk ganti wang pencen Shahrir dibelanja untuk politik'

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa wang RM1 juta yang diterima Shahrir Samad daripada bekas perdana menteri Najib Razak adalah untuk menggantikan wang pencennya yang digunakan untuk kegiatan politik di kawasan Parlimen Johor Bahru.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurzahidah Yacop, 35, berkata perkara itu dimaklumkan oleh Shahrir semasa dia disiasat oleh SPRM.

Penolong penguasa SPRM itu bersetuju dengan peguam Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros yang mewakili Shahrir bahawa bekas ahli parlimen Johor Bahru itu turut memaklumkan bahawa dia memohon secara lisan kepada Najib supaya menggantikan wang peribadinya itu dalam pertemuan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, sembilan tahun lepas.

Nurzahidah turut bersetuju dengan Syed Faisal bahawa bekas pengerusi Felda itu mendahulukan wangnya iaitu RM1 juta untuk membantu masyarakat di kawasan berkenaan termasuk membaik pulih Perumahan Puri Langkasuka (Seri Anugerah) Larkin, Johor Bahru.

Saksi pendakwaan ke-22 itu berkata demikian pada perbicaraan kes Shahrir yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pada 14 Dis lepas, Nurzahidah memberitahu mahkamah bahawa Najib menulis dan menandatangani cek AmIslamic Bank Berhad miliknya bernilai RM1 juta sebelum menyerahkan kepada Shahrir di pejabat berkenaan, pada 27 Nov 2013.

Syed Faisal turut bertanyakan kepada saksi berkenaan sama ada dia menerima borang cukai taksiran 2013 hingga 2018 milik Shahrir daripada Timbalan Ketua Unit Audit Meja Selebriti, Penghibur Awam dan Pelbagai, Bahagian Penaksiran LHDN Tuan Zulkfli Tuan Lah iaitu saksi pendakwaan ke-21 pada 13 Jan 2020.

Nurzahidah berkata: "Ada menerima borang cukai taksiran 2013 hingga 2018 milik Shahrir dan merekod keterangan daripada encik Zulkfli dan dia menyatakan bahawa penerimaan wang tersebut (RM1 juta) perlu dilaporkan kepada LHDN."

Pegawai penyiasat SPRM itu bersetuju dengan peguam bahawa dia tidak menyerahkan sebarang dokumen sewajarnya mengenai penerimaan RM1 juta kepada Tuan Zulkfli semasa merekodkan keterangannya.

Nurzahidah juga mengakui bahawa LHDN tidak dapat menentukan sama ada wang itu merupakan pendapatan atau sebaliknya kerana dia sendiri tidak mengemukakan dokumen kepada LHDN bagi melaksanakan sembilan langkah sewajarnya untuk menyemak status wang RM1 juta yang diterima Shahrir.

Nurzahidah juga bersetuju dengan peguam bahawa dia telah menunjukkan borang cukai taksiran 2013 hingga 2018 milik Shahrir kepada pegawai atasan dan mereka (pegawai) mencadangkan untuk mendakwa Shahrir atas pertuduhan itu walaupun tiada penentuan sama ada RM1 juta merupakan pendapatan atau tidak.

Katanya, dia perlu akur dengan arahan pegawai atasan walaupun dia mencadangkan Shahrir didakwa atas lima pertuduhan lain.

Syed Faisal: Maka sebagai pegawai bawahan, puan tidak boleh ada pendirian sendiri untuk protes, tidak ada ruang untuk meluahkan pendirian anda terhadap pendakwaan ini, betul?

Nurzahidah: Ya.

Shahrir, 73, didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan, yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Shahrir didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan hakim Muhammad Jamil Hussin bersambung esok.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS