Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli parlimen cadang Dewan Rakyat mula bersidang jam 2 petang

Ahli-ahli Parlimen telah mengemukakan cadangan termasuk memulakan waktu mesyuarat persidangan Dewan Rakyat pada 2 petang berbanding 10 pagi seperti yang diamalkan sekarang.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul berkata cadangan yang dikemukakan kepadanya itu dibuat untuk mentransformasi perjalanan sidang parlimen bagi membolehkan jemaah menteri menjalankan urusan pentadbiran masing-masing sebelum hadir ke Dewan Rakyat.

Cadangan lain yang turut diterima, katanya, idalah untuk menambah hari persidangan kepada 100 hingga 110 hari, selain melonggarkan etika pakaian di dalam Dewan Rakyat seperti tidak perlu memakai tali leher.

Johari berkata satu jawatankuasa akan dibentuk untuk melihat kepada cadangan-cadangan yang dikemukakan itu.

"Insya-Allah sidang pertama penggal ini (Parlimen ke-15) akan berlaku (diadakan) pada Feb,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Johari yang merupakan bekas Adun Gurun di Kedah, dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Azhar Harun pada Isnin lepas.

Usul pelantikan itu dibuat sebaik sahaja Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 bersidang pada jam 10 pagi.

Johari dicadangkan oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim, bagi pihak kerajaan dan mendapat 147 undi berbanding calon daripada pembangkang, bekas Menteri Dalam Negeri Mohd Radzi Sheikh Ahmad yang mendapat 74 undi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS