Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor hari ini mengesahkan berlaku kejadian seekor gajah dipercayai tersesat dan memasuki kawasan Penjara Kluang pada Isnin lepas.
Pengarahnya Aminuddin Jamin berkata Perhilitan Johor menerima laporan kejadian daripada pihak Penjara Kluang kira-kira jam 10 malam dan menggegaskan tiga petugas itu ke lokasi.
Katanya gajah dewasa itu dipercayai tersesat daripada kumpulannya yang dikenali sebagai Grup Tenang. Difahamkan kumpulan tersebut membabitkan kira-kira 15 ekor gajah.
Menurut Aminuddin, susulan itu Perhilihan Johor menghalau gajah tersebut dengan menggunakan kaedah ‘tembak dan halau’ serta mengiringinya hingga ke kawasan selamat.
"Kami mengambil tindakan dengan menembak ke udara beberapa kali menuju hutan berhampiran iaitu Hutan Gunung Lambak.
“Seterusnya, Perhilitan Johor akan melakukan pemantauan berterusan dan kawalan di lokasi terbabit sehingga keadaan benar-benar selamat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Aminuddin berkata kejadian gajah memasuki kawasan penjara itu adalah kali pertama berlaku di Johor.
Perhilitan Johor juga menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan provokasi terhadap gajah sekiranya bertembung, sebaliknya menghubungi jabatan terbabit untuk tindakan lanjut.
- Bernama