Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini memberi pesanan khusus kepada bakal jemaah haji dan umrah dengan mengingatkan mereka terhadap kewajipan mengundi dalam pilihan raya.
Ia dibuat tidak sampai lima minggu selepas PRU ke-15, dan menjelang pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN) di beberapa negeri yang tidak dibubarkan baru-baru ini.
Memulakan catatannya dengan memetik ayat al-Quran mengenai amaran seksaan terhadap orang Islam yang enggan "berjuang" serta kemungkinan mereka akan digantikan dengan kaum yang lain, Abdul Hadi berkata Rasulullah SAW mendahulukan asas memelihara agama dengan menjadikan ia satu kewajipan.
"Apabila Islam dalam keadaan bahaya, maka hukum jihad yang asalnya fardu kifayah bertukar menjadi fardu ain dan hendaklah diutamakan.
"Sehinggakan, para huffaz (penghafaz al-Quran) dalam kalangan para sahabat ramai yang gugur syahid apabila berlaku peristiwa riddah (murtad) yang mengepung Islam ketika wafatnya Rasulullah SAW," katanya hari ini.
Ahli parlimen Marang itu juga memetik pandangan ulama India, Maulana Abu al-Hasan Ali al-Nadawi yang menyatakan umat Islam menghadapi suasana kemurtadan ekoran "serangan pemikiran zaman penjajah yang menjatuhkan kerajaan Islam yang berdaulat melindungi agama Islam, dakwah dan umatnya.”
Justeru, kata Abdul Hadi, perjuangan "mengembalikan semula kuasa Islam" mesti diletakkan sebagai keutamaan.
Utamakan pendekatan damai
Menjelaskan pandangannya lebih lanjut, bekas duta khas bertaraf menteri itu memetik pula surat ulama hadis, Abdullah al-Mubarak kepada sahabatnya, Fudhail ‘Iyadh yang ketika itu berada di Mekah.
Abdul Hadi antara lain memetik kandungan surat Abdullah itu dengan kata-kata: “Wahai orang yang sedang beribadat di dua Tanah Haram (Mekah dan Madinah), ketahuilah engkau hanya bermain-main dalam ibadat itu” dan "Orang yang pipinya berlumuran air mata khusyuk beribadat. Ketahuilah bahawa leher kami berlumuran darah berjuang.”
Abdul Hadi juga memetik beberapa nama ulama Nusantara untuk menguatkan hujahnya. Antara nama yang dipetik ialah Syeikh Abdul Samad al-Falimbani dan Syeikh Daud al-Fatani.
Tambah Abdul Hadi, negara umat Islam dimerdekakan oleh penjajah dengan fahaman politik dipisahkan daripada agama dan ideologi sekularisme itu disuburkan dalam pemikiran Muslim yang "jahil agama" walaupun kuat beribadat.
"Pada masa yang sama, mereka merosakkan agama dan menyerah diri kepada musuh Islam," katanya.
Tambah bekas menteri besar Terengganu itu lagi, Islam mendahulukan pendekatan damai, justeru melalui amalan demokrasi diterima oleh ulama dan pemimpin Islam walaupun ia terpaksa dihadapi dengan "banyak halangan dan tipu daya".
Menurut Abdul Hadi, pendekatan damai melalui konsep demokrasi wajib diambil peluang oleh setiap oran Islam secara fardu ain kerana pilihan raya dan mengundi merupakan jalan mendapatkan kuasa pemerintahan Islam.
"Kira-kira 98 peratus orang bukan Islam dari seluruh negara dan pelusuk dunia yang jauh dikerah untuk mara mengundi bagi mendapatkan kuasa dalam tanah air kita ini dengan menyokong DAP dan kumpulannya yang menjadi wadah perjuangannya, walaupun mereka mengeluarkan belanja sendiri.
"Malangnya, orang Islam yang keluar mengundi hanya sekitar 60 peratus. (Ini) menunjukkan orang Islam yang tidak menunaikan kewajipan mengundi walaupun alasannya kerana ibadat haji dan umrah, malah ada yang menunggu upah duit dan sebagainya.
"Keadaan ini (dibimbangi) mereka itu melakukan dosa besar kerana telah melanggar perintah Allah SWT yang dinyatakan oleh Rasulullah," katanya sambil memetik ayat 15 dan 16 surah al-Anfal.
Ayat itu bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan orang-orang yang kafir yang sedang mara menyerangmu, maka janganlah kamu membelakangi mereka (mundur). Sesiapa yang membelakangi mereka (mundur) pada waktu itu, kecuali berbelok untuk (menyiasat dalam) perang atau hendak menggabungkan diri dengan pasukan yang lain, maka sesungguhnya orang itu kembali dengan membawa kemurkaan daripada Allah, dan tempatnya ialah neraka Jahanam. Dan amat buruklah tempat kembalinya.
Kata Abdul Hadi, jika tugas "memenangkan dan mempertahankan Islam" secara jalan damai melalui mengundi pun tidak ditunaikan oleh jemaah umrah dan bakal haji, maka kesan akibat tindakan mereka itu pasti akan lebih parah.
Malaysia mengadakan PRU ke-15 pada 19 Nov lalu. Bagaimanapun tidak seperti selalu, bukan semua negeri membubarkan dewan undangan negeri (DUN) masing-masing.
Selain pemilihan di peringkat kawasan parlimen di seluruh negara, hanya Perlis, Pahang dan Perak membubarkan DUN mereka.
Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Terengganu dijangka membubarkan DUN masing-masing pada suku pertama tahun depan. Ia memungkinkan PRN dijalankan semasa musim haji 2023.
Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor sudah mengadakan PRN sebelum ini, masing-masing pada 26 Sept 2020, 20 Nov 2021, 20 Dis 2021 dan 12 Mac 2022.
Umat Islam yang terpilih mengerjakan haji pada musim akan datang dijangka mula berangkat ke Tanah Suci pada hujung Mei tahun depan.
Sementara itu seorang saintis data, Thevesh Theva, berpendapat keadaan pada PRU lalu tidaklah seperti yang digambarkan Abdul Hadi.
Merujuk kepada data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dia berkata, tiada pecahan pengundi mengikut kaum dikeluarkan oleh badan tersebut.
"Kehadiran pengundi mengikut kaum tidak tersedia, jadi satu-satunya cara anda boleh 'menduga' bilangan (pengundi mengikut kaum) adalah dengan melihat kerusi," ciapnya di Twitter.
Dia juga mempertikaikan dakwaan Abdul Hadi bahawa lebih ramai orang bukan Islam mengundi dengan melihat kepada Terengganu sendiri yang didiami majoriti penduduk Melayu/Islam.
Di situ, katanya, kadar peratusan orang keluar mengundi ialah sebanyak 80.2 peratus dan tertinggi bagi sebuah negeri di negara ini.
Peratusan keluar mengundi di kerusi Marang juga pada 82.8 peratus dan - menurut Thevesh lagi - yang ketujuh tertinggi di negara ini.