Pengusaha tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor yang mengalami bencana tanah runtuh pada Jumaat lalu berkata, dia tidak dapat membuat permohonan mendapatkan lesen tapak perkhemahan kerana permit seperti itu tidak wujud.
Pada sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur semalam, jurucakap tapak perkhemahan itu, Frankie Tan, berkata dia diberitahu oleh pelbagai agensi kerajaan - termasuk jabatan pertanian - bahawa tiada lesen sedemikian boleh dipohon oleh pengusaha tapak perkhemahan.
“Saya pernah bertanya kepada pegawai kerajaan sama ada kami perlu memohon lesen tapak perkhemahan atau tidak.
"Pegawai terbabit berkata tidak ada permit kerana tapak perkhemahan itu bukan struktur kekal seperti hotel, justeru tiada lesen untuk dipohon.
“Bukannya kami tidak mahu membuat permohonan tetapi memang tidak ada cara untuk kami memohon," katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 pagi pada 16 Dis lalu, berlaku tanah runtuh sepanjang hampir 300m dari ketinggian 70m melanda tapak perkhemahan di Jalan Genting-Batang Kali.
Dua puluh empat orang disahkan terbunuh setakat ini manakala sembilan mangsa masih hilang. Seramai 61 mangsa telah diselamatkan.
Pengendali tapak perkhemahan dan kakitangan telah dipanggil untuk siasatan polis pada 18 Dis.
Sebelum ini, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata tapak perkhemahan itu beroperasi tanpa lesen daripada Majlis Daerah Hulu Selangor.
Malaysiakini telah menghantar mesej kepada Nga untuk mendapatkan komennya berhubung kenyataan tersebut.
Menurut Tan sebagai pengendali tapak perkhemahan tersebut mereka memang tidak mengelak daripada bertanggungjawab.
"Saya ingin menjelaskan tanah runtuh bukan bermula di tapak perkhemahan kami tetapi di tanah kerajaan dan di tepi jalan yang jaraknya antara 2km hingga 3km dari tapak kami," katanya.
Tan juga menjelaskan kawasan tanah runtuh itu adalah kawasan hutan yang belum dibangunkan.
Pada masa sama dia juga mendakwa tidak menyedari kawasan itu diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi.
Bermula sebagai ladang organik, Tan berkata dia hanya mula menyediakan perkhidmatan perkhemahan pada 2017 berikutan permintaan pengunjung.