Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar syorkan Hamzah baca buku qazaf tulisan Hadi
Diterbitkan:  Dec 20, 2022 12:00 PM
Dikemaskini: 4:00 AM

Anwar Ibrahim hari ini menganggap Hamzah Zanudin belum mendapat tarbiah daripada rakan pembangkang apabila membangkitkan isu homoseksual semasa berbahas semalam.

Kata perdana menteri Hamzah Zainudin melakukan serangan peribadi apabila "mencerca, memfitnah" dan melakukan konspirasi ke atasnya selama hampir 25 tahun.

Kali ini, kata Anwar, Hamzah melakukan serangan tersebut secara lebih licik.

"Saya takkan ulas perkara itu (dengan lebih lanjut) kerana tentunya dia belum mendapat tarbiah drp Marang (Presiden PAS, Abdul Hadi Awang), yang pernah menulis tentang qazaf," katanya semasa mengemukakan usul untuk membenarkan perbelanjaaan dikeluarkan dari Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi sebahagian tahun 2023.

Semalam Hamzah memetik laporan didakwa dikeluarkan sebuah portal berita Itali yang mengaitkan Anwar dengan kegiatan homoseksual.

Setiausaha Agung Bersatu itu juga mendesak agar Anwar mengambil tindakan undang-undang ke atas portal berkenaan.

Malam tadi Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, mendakwa kesahihan Agenzia Nova berkenaan adalah diragui, malah seseorang yang sudah menetap di Itali selama 33 tahun juga tidak pernah mendengar nama agensi berita tersebut.

Untuk rekod sebelum ini Abdul Hadi pernah menulis buku berkenaan hukuman yang perlu dikenakan ke atas seseorang yang menuduh orang lain melakukan zina atau liwat.

Buku Qazaf Mangsa Fitnah itu dihasilkan Abdul Hadi tidak lama selepas Anwar didakwa di mahkamah atas pelbagai tuduhan pada akhir 1990-an lalu.

Tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Abdul Hadi atas penghasilan buku tersebut, Anwar juga sempat berpesan kepada Hamzah agar mendalami kandungan naskhah tersebut.

"Saya syorkan buku itu juga dibaca oleh ketua pembangkang," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS