Polis Kelantan mengesahkan kematian tiga beradik di Kampung Bendang Surau, di Morak, Tumpat, akibat renjatan elektrik berpunca daripada berlakunya kebocoran pendawaian.
Kesemua mangsa berusia 27 hingga 33 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat.
Mangsa yang meninggal ialah Nurul Syazwani Mohd Nadzir, 33; Sakinah, 29 dan Noor Fathiah, 27.
Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata ketika kejadian jam 12.40 tengahari itu, ketiga-tiga mangsa dikatakan sedang berjalan kaki mengharungi air banjir melalui hadapan sebuah rumah.
“Tiba-tiba seorang mangsa dipercayai tergelincir dan terpegang tiang rumah sebelum terkena renjatan elektrik.
“Kedua-dua kakak mangsa cuba membantu dan turut terkena renjatan elektrik itu. Ketiga-tiga adik beradik itu meninggal dunia di tempat kejadian.
“Susulan itu, Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah dimaklumkan untuk tindakan memutuskan bekalan elektrik di tempat kejadian dan tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan tiga adik-beradik maut akibat terkena renjatan elektrik di rumah jiran mereka.
Sementara itu, Muhamad Zaki berkata siasatan di lokasi kejadian juga mendapati perkarangan rumah tersebut mengalami banjir lebih kurang setinggi 6 inci.
Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut masih berjalan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.