Keluarga dan rakan mangsa banjir menggunakan media sosial untuk mendapatkan bantuan bagi mereka yang terperangkap di rumah mereka di pantai timur susulan paras air yang semakin meningkat.
Setakat jam 4 petang tadi, seramai 35,079 mangsa banjir telah dipindahkan di Kelantan dan Terengganu tetapi keadaan masih teruk, terutama di dua negeri ini, menurut Menurut portal Pusat Kawalan Bencana Negara.
"Adik saya dengan orang kat sana terputus bekalan makanan dah tiga hari dah. Alasan dia kata bagi bantuan kat tempat lagi teruk. Habis tu yang diorang ni tak nak dibantu ke? Tolonglah, saya merayu," ciap seorang warga maya dengan nama Twitter @sambawolf.
Menurut pemilik akaun Twitter ini, yang melampirkan tangkapan skrin perbualan teks dengan mangsa, kawasan yang dimaksudkan ialah Pondok Pasir Tumboh di Kelantan.
Sementara itu, pengguna Twitter @wandy1985 meminta bantuan bagi pihak rakan yang keluarganya terperangkap di Kampung Gong Kamuntong, Besut, Terengganu.
"Kawan sayapun cakap keluarga dia tidak ada bot, kat Besut, Kg Gong Kemuntong. Diorang tidak ada makanan. Kawan saya tiada twitter, saya tolonglah masukkan sini, harap membantu," katanya.
Ciapan itu disertakan dengan tangkapan skrin perbualan antara rakan dan keluarga, yang berbunyi: "Mohon bantuan di Kampung Gong Kemuntong. Ramai lagi yang terkandas warga emas dan bayi. Kita orang berapa kali dah jerit panggil bomba yang lalu."
Seorang lagi netizen, @FarahHar0r0, yang turut berkongsi nasib keluarganya di Twitter, memberitahu Malaysiakini bahawa mereka telah diselamatkan.
"Keluarga saya kini okay dah. Mereka dah diselamatkan....dan kini mereka sedang menunggu makanan kerana makanan basah kena air atau bekalan sudah habis di bandar (Besut, Terengganu).
"Tetapi masih ada orang yang terperangkap di Kg Kubang Depu dan Kg Jebak Puyuh," katanya.