Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiga beradik maut direnjat elektrik
Diterbitkan:  Dec 19, 2022 3:50 PM
Dikemaskini: 9:34 AM

Tiga adik-beradik perempuan menemui ajal selepas terkena renjatan elektrik dalam kejadian di kediaman jiran mereka di Kampung Morak, Tumpat, hari ini.

Ketua Operasi Balai Bomba Tumpat Anuar Yacob berkata kejadian pada jam 12.12 tengah hari dipercayai berpunca daripada wayar servis Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang melalui sengkuap (awning) rumah mangsa.

“Ketika sampai di lokasi kajadian didapati benar berlaku kejadian tersebut membabitkan tiga adik-beradik perempuan berusian 20, 25 dan 27 tahun.

“Salah seorang mangsa dipercayai memegang tiang rumah ketika renjatan berlaku dan turut terkena kepada dua lagi mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Anuar berkata pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kesemua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Wayar servis TNB merupakan talian yang membekalkan elektrik ke kediaman.

Kampung Morak antara tempat yang terkesan dengan bencana banjir.

Kelantan paling teruk dilanda banjir di negara ini.

Setakat lewat malam tadi, negeri itu terus merekodkan peningkatan mangsa kepada 12,082 orang.

Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan pihaknya berkata siasatan berhubung kejadian tersebut dijalankan dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga dan pihak polis.

Agensi itu turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa susulan kejadian berkenaan dan menggesa orang ramai tidak mencetuskan sebarang spekulasi.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang gambar atau video kejadian ini dan membuat spekulasi, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan sisatan di samping menghormati perasaan dan sensitiviti keluarga mangsa.

“TNB turut mengulangi peringatannya kepada orang ramai agar tidak menghampiri atau menyentuh pepasangan elektrik yang ditenggelami banjir kerana dikhuatiri berlaku kebocoran arus.

“TNB akan memastikan keselamatan orang ramai sentiasa diutamakan, termasuk dengan memutuskan sementara bekalan elektrik ke kawasan yang ditenggelami air banjir atas faktor keselamatan.

"Penyambungan semula bekalan akan dibuat dengan kadar segera sebaik ia selamat dilakukan,” kata kenyataan itu.

Tambah TNB, orang ramai disarankan untuk sentiasa menjaga keselamatan dan menghubungi talian 1-300-88-5454 bagi melaporkan pepasangan TNB yang berada dalam keadaan bahaya.

TNB tutup 94 pencawang

Dalam perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan, TNB menutup sementara bekalan elektrik di 94 pencawang membabitkan jajahan Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Mas dan Pasir Puteh berikutan hujan lebat dan banjir.

Menurut kenyataan dalam laman Facebook TNB Careline hari ini, usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.

"Kota Bharu membabitkan lima pencawang, Tanah Merah (8), Pasir Mas (59) dan Pasir Puteh (22)," menurut kenyataan itu.

TNB juga mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan hujan lebat dan keadaan berisiko banjir serta menjauhi pepasangan elektrik yang terendam banjir.

Menurut TNB penutupan bekalan akan dilakukan di pencawang elektrik yang berkaitan jika banjir bertambah buruk, berisiko serta membahayakan keadaan bagi memastikan keselamatan pengguna setempat.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS