Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Johari Abdul speaker baru Dewan Rakyat
Diterbitkan:  Dec 19, 2022 10:39 AM
Dikemaskini: 3:30 AM

Pemimpin PKR, Johari Abdul dipilih sebagai speaker Dewan Rakyat.

Johari, 67, dipilih selepas undian sulit dijalankan bagi usul yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin ketika mengumumkan keputusan itu memberitahu, Johari memperoleh sokongan 147 undi, sementara seorang lagi calon yang juga bekas Ahli Parlimen Kangar, Mohd Radzi Sheikh Ahmad memperoleh 74 undi.

Pada proses pengundian itu, setiap ahli Parlimen diberi satu kertas dan mereka perlu menulis nama calon yang disokongnya, sebelum kiraan undi dibuat.

Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin ketika mengumumkan keputusan itu memberitahu, Johari memperoleh sokongan 147 undi, sementara seorang lagi calon yang juga bekas Ahli Parlimen Kangar, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad memperoleh 74 undi.

Pada proses pengundian itu, setiap Ahli Parlimen diberi satu kertas dan mereka perlu menulis nama calon yang disokongnya, sebelum kiraan undi dibuat.

Pencalonan Johari dikemukakan oleh Anwar dan disokong Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara ketua pembangkang merangkap ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin pula mencadangkan Radzi yang disokong oleh ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan.

Johari adalah bekas pengarah Biro Tatanegara Negara dan tiga penggal menjadi ahli Parlimen Sungai Petani.

Sarjana di dalam Pengajian Strategik dari University of Lancaster itu menjadi ahli Parlimen Sungai Petani sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, namun tidak bertanding pada PRU15 lalu, dengan kerusi itu kini disandang anaknya, Taufiq.

Semalam, beliau juga mengumumkan peletakan jawatannya sebaga Adun Gurun berkuat kuasa serta-merta.

Sementara itu, Johari yang mengangkat sumpah sebaik sahaja pelantikannya oleh Setiausaha Dewan Rakyat berkata pelantikan itu adalah satu penghormatan yang amat tinggi dan amanah besar kepada negara.

“Sesungguhnya saya berikrar berusaha sedaya dan semampu untuk memenuhi amanah yang diberikan ini, segala pengalaman sebelum ini sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik, ahli pernigaan, Ahli Parlimen dan Adun akan turut membantu dalam melaksanakan tanggungjawab berat ini,” katanya.

Johari  juga memohon semua ahli Parlimen menghormati kedudukannya sebagai Speaker atas dasar tanggungjawab dan bukan atas kapasiti peribadi.

Beliau juga berpesan agar ahli Parlimen menjadikan Dewan Rakyat sebagai platform membina dan menyampaikan pendapat yang molek dan bernas serta menjadikan kepentingan negara sebagai matlamat utama berbanding matlamat politik dan peribadi.

Sebaik selesai mengangkat sumpah dan berucap, Johari mempengerusikan mesyuarat dengan meneruskan agenda persidangan iaitu majlis mengangkat sumpah 222 Ahli Parlimen yang memenangi kerusi masing-masing pada Pilihan Raya ke-15 (PRU15).



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS