Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB: Kelantan aktifkan lima pusat kawalan banjir
Diterbitkan:  Dec 18, 2022 4:22 PM
Dikemaskini: 8:22 AM

Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri itu telah mengaktifkan lima pusat kawalan operasi banjir (PKOB), masing-masing di daerah Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Machang dan Pasir Puteh bagi menyelaras pengurusan bencana bah.

Ahmad berkata langkah tersebut dibuat susulan ramalan hujan lebat tahap bahaya oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) di seluruh negeri itu sehingga 21 Disember depan.

"Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan ramalan terkini jam 12.30 tengahari tadi berkenaan perkembangan ramalan hujan lebat tahap bahaya di seluruh negeri Kelantan sehingga 21 Disember.

"Paras air sungai utama di negeri Kelantan juga menunjukkan peningkatan dan melepasi paras bahaya," katanya.

Sehubungan itu, Ahmad berharap penduduk Kelantan patuh dengan arahan dan panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Ini katanya terutama membabitkan arahan untuk berpindah di beberapa kawasan yang seboleh-bolehnya diharap dapat dilakukan sebelum waktu Maghrib.

Ahmad juga meminta seluruh penduduk Kelantan untuk sentiasa peka kepada perkembangan dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Setakat jam 1.00 tengahari tadi, jumlah mangsa banjir seramai 1,545 orang melibatkan 461 keluarga yang ditempatkan di 16 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Kata Ahmad, pihaknya juga turut mengarahkan wakil rakyat bersama-sama ketua jajahan dan pegawai kerajaan terutama di kawasan berisiko banjir supaya mengambil langkah proaktif dan cakna terhadap keselamatan serta kebajikan penduduk.

"Saya juga minta seluruh rakyat Kelantan supaya melakukan solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT supaya negeri kita tidak dilanda dengan banjir besar," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS