Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Seorang mangsa tragedi tanah runtuh selamat dikebumi

Jenazah seorang daripada mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali, Selangor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (KL-Karak), Taman Selasih di Kuala Lumpur, pada 10 malam tadi.

Ibu Allahyarham, Siti Esah Hassan, 53, berkata jenazah Nurul Azwani Kamarulzaman, 31, dibawa ke tanah perkuburan selepas selesai solat jenazah di Masjid Abu Hurairah Kampung Batu 5, Jalan Ipoh di situ.

Siti Esah berkata Allahyarham merupakan anak sulung daripada tiga beradik yang bekerja sebagai penolong kantin di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Mun Choong.

"Allahyarham menyertai perkhemahan itu kerana mengikut majikannya yang juga guru di sekolah tersebut dan dia sudah berjanji untuk pulang ke kampung selepas habis aktiviti perkhemahan itu.

"Rabu lepas, Allahyarham ada menghubungi saya pada malam sebelum hari kejadian untuk memberitahu dia sudah membeli tiket untuk pulang ke kampung di Kelantan yang sepatutnya semalam,” katanya kepada pemberita di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah.

Allahyarham merupakan antara 24 mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi Jumaat.

Setakat 9 malam ini, seramai sembilan mangsa masih hilang manakala 61 lagi berjaya diselamatkan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS