Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Trafik laluan KL-Karak masih lancar
Diterbitkan:  Dec 16, 2022 1:56 PM
Dikemaskini: 5:56 AM

Trafik menghala ke Genting Highlands di laluan Genting Sempah, Lebuhraya KL-Karak (KLK) masih lancar walaupun jalan di Batang Kali, Selangor ditutup susulan kejadian tanah runtuh, awal pagi tadi.

Pengurus Besar Kanan Anih Berhad, Radzimah Mohd Radzi, berkata tiada penutupan jalan dibuat di lebuh raya berkenaan setakat ini.

"Anih Berhad selaku pengendali KLK dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) bersimpati dengan pihak yang terkesan akibat kejadian itu, setakat ini lebuh raya KLK tidak terkesan dan keadaan trafik terkawal," katanya hari ini.

Beliau turut menasihati pengguna merancang perjalanan ketika musim tengkujuh ini dan sentiasa memastikan tahap kesediaan sebelum memulakan perjalanan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik di KLK dan LPT1 melalui laman media sosial Anih Berhad dan Anih TV.

Terdahulu, Resorts World Genting menasihatkan pengunjung yang pergi dan balik dari pusat peranginan itu supaya menggunakan Lebuhraya KLK melalui laluan Genting Sempah susulan insiden tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali.

Ketika ini, operasi mencari dan menyelamat giat dijalankan oleh pihak berkuasa di tapak perkhemahan berhampiran jalan menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highlands. 

- Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS