Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengenal pasti sebanyak 789 premis atau 47 peratus dari keseluruhan jumlah bangunan di negeri tersebut tidak mempunyai Sijil Perakuan Bomba (FC).
Pengarahnya Datuk Norazam Khamis berkata jumlah bangunan di negeri itu yang tidak memiliki FC merangkumi 394 kilang; bangunan pejabat (129); gudang (117); dan kedai seperti pasar raya, kedai runcit serta pusat beli-belah (67).
Selain itu, sebanyak 37 hotel didapati tidak mempunyai FC, diikuti dengan bangunan asrama (22), hospital serta rumah rawatan (17), tempat berhimpun seperti dewan serbaguna dan rumah kelab (lima) dan sebuah perpustakaan.
Menurutnya pemilik premis perlu peka terhadap undang-undang sedia ada yang mewajibkan premis berkenaan memiliki FC mengikut Akta Perkhidmatan Bomba (Akta 341).
"Pemilik premis perlu mempunyai sijil tersebut untuk mengesahkan bahawa sistem keselamatan kebakaran di premis mereka berfungsi dengan baik dan boleh mengesan, memberi amaran serta dalam sesetengah keadaan, ia boleh memadam kebakaran secara automatik,” katanya.
Norazam berkata antara alasan yang diberikan oleh pemilik premis yang tidak mempunyai FC adalah tidak mengetahui keperluan memiliki sijil berkenaan dan tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk menyelenggara sistem pemasangan keselamatan kebakaran.
Justeru, Norazam menasihatkan para pemilik bangunan yang masih tidak mempunyai FC untuk mendapatkan sijil tersebut bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang dan pihak yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
"Sebenarnya kita juga memberi tempoh 30 hari sebagai peringatan kepada premis yang baru dikenal pasti untuk memohon FC sebagai tempoh penyediaan dokumen terlibat untuk dihantar ke JBPM.
"Perlu diingatkan juga, selepas premis terbabit disabitkan kesalahan dan dikenakan denda, ia tidak berakhir begitu saja, pihak JBPM akan terus memberi peringatan untuk memohon FC sehingga mereka mempunyai sijil itu dan dalam tempoh itu, denda akan dikenakan berulang kali kepada pihak berkenaan," katanya.
- Bernama